Saya tertarik hendak menulis tentang asas common sense dalam kehidupan ini sejak minggu lepas lagi sebenarnya. Cuma jadual kehidupan yang agak sibuk membantutkan niat. Berhadapan dengan masyarakat yang kurang memahami sekurangnya tentang asas common sense ni memang potong bro. Boleh hilang mood.
Kisah basikal dan ‘Common Sense’
Ketika itu saya hendak mengeluarkan sejumlah wang di mesin ATM yang terletak dalam stesen minyak Petronas berdekatan dengan rumah saya. Malas nak ke bandar nak menghadap jam je, itu yang pergi cawangan yang paling berhampiran.
Semasa nak parking motosikal di kawasan parking, kelihatan berduyun cyclers sedang berehat melepaskan lelah selepas berkayuh ala-ala Le Tour de Langkawi barangkali.
Namun, apa yang cukup membuatkan saya berasa agak kurang senang tentang cara mereka meletakkan basikal masing-masing yang dari segi luaran berharga beribu RM itu di ruangan parking motosikal. Taklah menjadi satu kesalahan parking motosikal digunakan untuk meletakkan basikal. Malahan ianya diraikan jika digunakan dengan betul.
Tetapi apa yang dapat saya lihat cukup menggeramkan. Tunggang-langgang dan bersepah serta menganggu laluan untuk orang awam berjalan masuk ke ruangan dalam premis Petronas itu sendiri. Tambahan pula, basikal mereka yang bersepah itu tidak dibetulkan apabila nampak orang awam yang melalui kawasan itu serta penunggang motosikal lain termasuk saya menyebabkan ruangan untuk pengguna lain tiada lagi.
Saya menegur, tetapi alasannya :
‘ Kitorang penat ni dik, daripada Melaka ni berkayuh ‘
Hampeh betul. Selain daripada kisah ini, juga beberapa kisah lain yang membuatkan saya rasa ingin disimpulkan dalam satu penulisan santai tentang asas pentingnya memahami konteks common sense dalam menjalani kehidupan seharian.
Betapa bahagianya dunia kalau semua orang faham dan tahu mengamalkan asas common sense dalam kehidupan seharian.
Common Sense #1 : Tidak pentingkan diri sendiri
Untuk mengaitkan dengan kejadian basikal di atas, seharusnya para cyclers ambil maklum bahawa premis yang mereka jadikan sebagai tempat berehat dan berteduh itu merupakan tempat awam. Jadi, bila kata tempat awam, sepatutnya mereka juga perlu berkelakuan seperti orang awam yang lain bukan seperti rumah sendiri!
Kalau benar penat sekalipun, susunlah kedudukan basikal itu elok-elok tanpa menganggu hak pengguna awam yang lain. Lagipun tiada siapa yang paksa untuk awak berkayuh pada jarak yang luar pada kemampuan sendiri. Ruangan yang mereka gunakan untuk berteduh itu juga merupakan laluan utama untuk pelanggan Petronas masuk ke dalam kedai atau pelanggan yang ingin membayar duit petrol di kaunter.Janganlah pentingkan diri sendiri sahaja!
Selain daripada kejadian ini, saya juga ingin berkongsi tentang segerombolan manusia yang berjogging di pusat rekreasi awam. Berjogging itu tidak salah, tetapi yang menjadi satu kesalahan ialah menghalang laluan untuk orang lain berlari. Ini yang salah!
Sudahlah anda tak mahu berlari, menghalang pula laluan ataupun trek utama untuk orang awam yang lain berlari. Menghalang yang dimaksudkan ini ialah membuat satu barisan seakan garisan horizontal mengakibatkan laluan utama terganggu. Bagi saya, adalah satu asas common sense dalam kehidupan sekiranya anda tidak berlari, anda bersembang dengan segerombolan rakan-rakan anda di bahu jalan ataupun bahagian tepi trek.
Common Sense #2 : Bekerjasamalah dengan ‘housemate’
Saya banyak mendengar pengalaman rakan-rakan yang begitu memberontak dengan tingkah laku housemate mereka sendiri. Pemalas, pengotor, kedekut dan banyak lagi antara keluhan yang normal untuk didengari.
Kalau dah duduk sebumbung dengan orang lain, kita kenalah buang segala semua sikap negatif tersebut melainkan kita duduk berseorangan. Perkara asas jika duduk serumah yang perlu dikuasai antaranya :
- Menjaga kebersihan kawasan rumah dan tandas
- Bergilir-gilir atau sediakan jadual giliran bertugas membersihkan rumah dan tandas
- Menghormati hak sosial ahli rumah
- Mengeluarkan belanja bulanan sekiranya mengambil keputusan untuk memasak di rumah
Kalau dalam kalangan housemate kita ada yang masak lauk makanan harian, janganlah buat taktahu dan hanya tahu makan sahaja! Kesian pada si tukang masak. Dialah yang memasak, juga dialah yang mengemas. Segalanya dia.
Lagipun, bukannya dia dilahir dan dibesarkan keluarganya untuk menjadi kuli kita semata-mata!
Baca juga : Bagaimana Boleh Menjadi Bijak?
Sebaliknya, bantulah si tukang masak dengan aktiviti lain yang meringankan bebanan kerjanya seperti :
- Buat kerja potong-memotong bahan masakan seperti bawang, sayur-sayuran dll
- Basuh dan siang daging/ayam/ikan dll
- Basuh beras dan buat air minuman
- Mencuci perkakas yang telah digunakan untuk memasak
- Membersihkan kawasan dapur yang digunakan untuk memasak
Jika kita berkelakuan seperti ini, sudah pasti rakan kita yang tugasnya memasak itu tidak hilang motivasi untuk menyiapkan lauk-lauk harian pada masa akan datang. Bukan apa, kita nilai diri sendiri dahulu. Jika tiada kemahiran untuk memasak sekalipun, kita masih boleh menjadi insan yang berguna dalam ahli rumah jika kita melakukan perkara-perkara yang telah saya sebutkan di atas. Barulah namanya kerjasama!
Common Sense #3 : Menghulurkan Duit Minyak
Perkara ini juga pasti menjadi dilema bagi sesiapa kenderaan persendiriannya menjadi tumpangan oleh orang lain. Nak minta segan, tak minta poket sendiri yang terseksa. Kalau jarak perjalanan dalam jumlah kilometer yang dekat serta tidak melibatkan tumpangan secara kerap tidaklah menjadi masalah.
Namun, sekiranya melibatkan perjalanan yang jauh atau secara kerap dan berkala, hulur-hulur lah sedikit brader. Kesian tuan punya kereta yang menanggung seorang padahal kita kerap kali menumpangnya. Contoh paling ringkas yang saya boleh beri ialah pelajar universiti.
Jika sepanjang semester penuh anda menumpang si polan setiap kali hendak pergi ke kelas mahupun sebarang aktiviti sosial, adalah menjadi satu common sense untuk anda menghulurkan sedikit duit minyak kepada tuan punya kereta. Sama juga kes jika anda meminjam kenderaan si polan, wajib untuk menghulurkan sedikit duit minyak atau isi sendiri minyak kenderaan tersebut sebelum dipulangkan kepada tuannya.
Walaupun tuan punya kereta datang daripada golongan yang berada dan kaya raya sekalipun, itu tidaklah menjadi alasan untuk anda tidak menghulurnya duit minyak kecuali tuan punya kereta sendiri yang menolaknya.
Kadangkala, dengan melakukan perkara kecil sebegini pun sebenarnya telah memberikan satu perspektif yang baik serta ketinggian nilai moral yang ada pada diri kita sendiri kepada orang lain.
Common Sense #4 : Bayar Hutang Apabila Berani Berhutang
Perkara ini juga nampak seperti ringan tetapi sungguh melibatkan kerosakan emosi dan hubungan persahabatan seseorang. Ketika mula-mula nak berhutang dulu, punyalah manis janji untuk membayar semula pada waktu-waktu yang telah dijanjikan. Namun, apabila tiba waktu yang sepatutnya, sunyi sepi pula seakan tiada apa yang berlaku.
Saya kira perkara ini boleh dikira menzalimi orang yang memberi hutang (pemiutang). Kadangkala, kita taktahu bagaimana orang yang berani memberi kita hutang ini mendapatkan duit yang diberikan kepada kita itu. Mungkin daripada hasil 12 jam kerja membanting tulang, ataupun hasil berpanas di bawah terik mentari.
Jika sudah berkahwin dan berkeluarga, adakah hutang yang dipinjamkan itu menganggu perbelanjaan keluarganya. Mungkin mereka berani memberikan kita hutang kerana yakin kita akan membayar pada waktu yang telah kita janjikan. Seharusnya, kita yang berhutang perlulah mengambil kira semua perkara ini, takut-takut tanpa disedari kita telah menzalimi orang lain.
Junjungan besar Nabi Muhammad saw juga memberi amaran keras kepada golongan yang sengaja tidak mahu membayar hutang. Dalam riwayat Tirmidzi (1079), hadisnya bertaraf hassan, Nabi saw bersabda :
نَفْسُ المُؤمِنِ مُعَلّقَةٌ بِدَيْنِه حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
Maksudnya: Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.
Serta banyak lagi amaran keras yang disebutkan dalam Kutub Sittah tentang ancaman kepada orang yang sengaja tidak mahu melunaskan hutang saudaranya.
Baca juga : Mengapa Bab Muzik Kita Tidak Ikut 4 Mazhab?
Common Sense #5 : Saling Tegur Menegur
Jika kita pergi ke kedai makan lalu terserempak dengan rakan atau orang yang kita kenali, janganlah hanya tegur rakan kita itu sahaja. Jika bersalaman, salam sekali semua sekali yang berada di meja tersebut (yang sama jantina sahaja). Jika tidak salam-salaman, tegurlah sekali dengan orang yang duduk bersama dengan rakan kita itu tadi (berlainan jantina adalah pilihan). Sekurang-kurangnya, ucapkanlah ucapan salam kepada mereka.
Begitu juga sekiranya kita singgah ke rumahnya, jika ternampak bapanya berada berhampiran dengan kita sedang bercucuk tanam contohnya, tegurlah dan jika mampu lanjutkan perbualan kosong secara ringkas seperti:
‘ Cik, tengah buat apa tu? ‘
‘ Wah, bercucuk tanam ke cik’
‘ Rajin pakcik berkebun ya ‘
Dan bermacam-macam lagi jenis perbualan kosong yang boleh kita utarakan asalkan kita menegur dan menyapanya. Mengamalkan asas common sense dalam kehidupan tidaklah sesukar yang disangka bukan?
Sekilas Pandang
Kalaulah setiap orang disekeliling kita mempunyai nilai common sense yang asas dalam kehidupan disimpankan dalam dada mereka, sudah pasti kehidupan akan menjadi lebih tenang bukan?
Mungkin, persengketaan dan rasa tidak puas hati dapat dikurangkan.
No Comment! Be the first one.