Tukang urut sememangnya sangat disegani dalam kalangan masyarakat kita khususnya bagi kaum melayu. Dalam banyak keadaan, kaedah urutan sangat dipercayai boleh menjadi rawatan alternatif untuk merawat sakit sendi, otot, tulang, dan saraf yang mujarab. Kepercayaan ini timbul mungkin disebabkan kerana banyak ‘case study’ atau pengalaman peribadi seseorang yang berjaya melalui fasa penyembuhan dengan melakukan urutan. Tukang urut boleh dianggap sebagai ‘doktor’ versi tradisional. Namun, di sebalik kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat kepada seni urutan sebagai rawatan alternatif, tidak kurang juga tersebar lambakan mitos urut popular yang telah diguna pakai dalam kehidupan seharian sejak turun temurun lagi.
Saya sertakan 5 mitos urut popular yang sering saya dengar daripada individu yang pernah menjadi pelanggan saya sepanjang hampir 5 tahun berkecimpung secara sambilan dalam bidang urutan.
Mitos Urut Popular 1 : Sakit Lebih Baik
Perkara ini sangat popular dalam kalangan tukang urut tradisional khususnya golongan yang digelar ‘otai‘. Satu sesi urutan bersama tukang urut ‘otai’ ini cukup sinonim dengan cara urut yang sangat kuat. Justifikasi yang sering saya dengar mengapa tekanan yang kuat ini diaplikasikan ialah urutan yang kuat mampu mempercepatkan proses pemulihan.
Sebenarnya, dakwaan ini tidaklah 100% tepat. Hal ini demikian kerana, sebagai seorang tukang urut yang baik, tekanan yang kuat tidaklah diaplikasikan kepada semua bahagian otot pesakit menggunakan kadar tekanan yang sama. Dan tekanan yang sangat kuat tidak diperlukan untuk otot yang tidak mengalami sebarang kecederaan khusus.
Contoh situasi saya boleh berikan seperti di bawah ;
” Contohnya seorang pelanggan X mengadu mengalami sengal dan lesu badan akibat letih bekerja. Maka dalam kes ini pelanggan X amat sesuai mendapatkan urutan yang bersifat ‘relaxation’ tanpa perlu bersifat kejam dengan mengaplikasikan teknik ‘deep tissue’ pada setiap bahagian badannya. Urutan yang bersifat ‘relaxation’ memastikan pelanggan tidak akan menjerit kesakitan malah akan tertidur seakan di langit ketujuh ketika menerima rawatan. “
Saya terangkan kedua jenis urutan ini seperti berikut :
Â
Â
Urutan ‘relaxation’ atau lebih dikenali dengan ‘Sweedish Massage‘ ini merupakan kombinasi beberapa teknik seperti effleurage, kneading, cross fibre dan drainage menggunakan jari, tapak tangan, lengan dan juga siku pada tekanan yang bersesuaian mengikut bahagian otot yang diurut. Lakuan cupping, slicing, vibrating dan tapping disertai dengan regangan ringkas kebiasaannya menjadi penutup sesi.
Jika diaplikasikan dengan betul, sesi urutan itu pasti akan menjadi sesi yang sangat tenang dan lega dan bukannya meraung kesakitan seperti dibelasah orang!
Jenis urutan ini amat sesuai diaplikasikan tukang urut kepada pelanggan yang tidak mengalami sebarang kecederaan khusus, tetapi lebih kepada letih bekerja atau atlet yang letih selepas latihan yang padat.
Teknik dalam sweedish massage ini juga seakan-akan sama seperti teknik yang digunakan dalam urutan sukan (sport massage).
Â
- Deep Tissue Massage

Â
Teknik urutan ini lebih menumpukan kepada otot yang tegang. Istilah lain yang sering diguna pakai ialah ‘tight knots‘/’trigger points’ di bahagian tertentu.
Kaedahnya ialah tukang urut akan menganalisis dahulu bahagian otot yang tegang dan ‘bermasalah’ menggunakan teknik sentuhan (palpation). Selepas itu, satu tekanan yang mendalam dan perlahan ke atas tisu otot tersebut akan diaplikasikan.
Teknik urutan ini sememangnya sedikit memberikan kesakitan tetapi lebih bersifat sementara dan tidaklah berkekalan sehinggan 4-5 hari kemudian. Jika kesakitan yang amat teruk terjadi 4-5 hari selepas sesi urutan, maka tukang urut tersebut mungkin tersilap dalam menentukan bahagian otot yang sepatutnya.
Namun, kesakitan yang dialami itu tidaklah sampai keterlaluan. Cuma sakit manja sahaja. Antara kecederaan yang dicadangkan (peringkat awal) untuk menggunakan kaedah deep tissue massage :
- Kecederaan Sukan
- Saraf Sciatica
- Fibromyalgia
- Plantar Fascitiis
- Tennis Elbow
Mitos Urut Popular 2 :Â Terseliuh/Cedera Mestilah Diurut
Tidak dinafikan urutan merupakan salah satu kaedah ‘non-surgical treatment‘ yang agak murah dan mudah untuk diakses. Dalam satu kawasan, mesti ada setidaknya seorang tukang urut yang handal. Namun langkah untuk terus mengurut apabila sesuatu kecederaan seperti terseliuh, koyakan tisu dan bengkak adalah langkah yang kurang tepat.
” Contoh situasi adalah individu X mengalami simptom bengkak pada ligamen buku lali selepas bermain futsal. Keadaan buku lalinya itu sangat sakit sehingga membataskannya untuk berjalan. Lalu dia terus urut kawasan bengkak dengan tukang urut paling otai di kampungnya. Dia beranggapan bahawa dengan urutan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapinya“
Sejujurnya, tindakan yang diambil oleh individu X adalah langkah yang kurang tepat. Seharusnya, langkah pertama yang perlu dilakukan olehnya ialah pergi ke hospital dahulu untuk tujuan diagnosis sama ada ada koyakan pada ligamen atau keretakan pada tulang bahagian fibula, calcaneous dan lain-lain yang berkemungkinan jika kondisi kecederaan tidak normal dan teruk.
Namun, jika hanya berdepan dengan simptom bengkak cuba cari jalan untuk meredakan bengkak terlebih dahulu.Â
Walaupun secara fisiologinya kita tahu bengkak itu merupakan mekanisma normal tubuh badan apabila kecederaan berlaku, tindakan untuk mengawal bengkak daripada menghalang kefungsian pergerakan tubuh badan boleh diambil kira. Pada kebiasaanya, saranan klasik menyatakan boleh untuk menggunakan tuaman yang bersifat sejuk seperti ais, air sejuk atau coolpack untuk beberapa minit dan sesi di lokasi kawasan berlakunya bengkak.
Sesetengah saranan pula menggalakkan jika bengkak berlaku di bahagian sendi, mangsa yang tercedera perlu didedahkan dengan pergerakan kecil di sekitar sendi untuk menggalakkan pengaliran darah.
Tidak dinafikan, penggunaan tuaman ais di kawasan bengkak merupakan topik kontroversi yang menjadi topik perdebatan antara para pengkaji di luar sana. Namun, perbincangan itu mungkin tidak relevan untuk saya huraikan dalam penulisan kali ini.
Pada pendapat peribadi saya, tidak menjadi masalah untuk mengikut saranan klasik terlebih dahulu kerana dapatan yang mengatakan tuaman ais di bahagian yang tercedera boleh memburukan lagi keadaan bengkak tidak konsisten sehingga ke hari ini. Melihat sudut pengalaman peribadi saya pula, kedua-dua hujah yang dilampirkan ada benarnya.Â
Saya pernah bekerja dengan atlet yang mempunyai tindak balas yang baik dengan tuaman ais di kawasan bengkak. Bahagian bengkak surut mendadak dan atlet berasa lebih baik jika hendak dibandingkan dengan keadaan sebelum tuaman ais dilakukan. Tidak ketinggalan, pernah juga ada atlet yang mengalami simptom bengkak yang lebih teruk apabila tuaman ais dilakukan.Â
Jika tanya saya adakah perlu tuaman ais untuk kondisi bengkak, saya boleh katakan gunakanlah pendekatan ‘try and error’ . Jika keadaan semakin teruk, tuaman ais tersebut seharusnya dialihkan daripada kawasan yang tercedera.
Sekiranya segala proses rehabilitasi asas seperti diagnosis, tuaman ais, pergerakan rehat aktif, dan rasa sakit sudah tiada, barulah proses urut boleh diaplikasikan untuk mempercepat pengaliran cecair dalam sel yang terkumpul selepas kecederaan berlaku. Sememangnya bagaimana sistem fisiologi manusia berfungsi sentiasa akan ada banyak persoalan yang masih belum dirungkai sepenuhnya!
Mitos Urut Popular 3 : Urut Buang Toksin Dalam Badan
Mitos seterusnya yang sering berlegar di kalangan masyarakat dan disebarkan oleh tukang urut sendiri ialah dengan kerap melakukan urutan boleh membantu dalam pembuangan toksin dalam badan. Bahasa yang lebih canggih ialah ‘detoxification‘. Ada juga yang mendakwa urutan juga boleh membuang asid laktik di bahagian otot yang lenguh.
Tidak dinafikan urutan boleh membantu sedikit sebanyak dalam melancarkan perjalanan darah ke jantung dengan lebih efisyen serta dapat memberikan ‘keringanan’ dan kesegaran pada tubuh badan yang telah diurut.
Namun untuk mengatakan bahawa toksin dalam badan dapat dikeluarkan melalui urutan adalah satu dakwaan yang tidak tepat dan dangkal dari segi fakta sains!
Sama juga dengan dakwaan berkaitan dengan asid laktik juga tidak tepat. Faktor lenguh otot semasa dan selepas melakukan senaman bukanlah disebabkan oleh pengumpulan asid laktik di dalam otot.Â
Lactate bukanlah entiti jahat yang sering disalah sangka oleh ramai masyarakat. Malah, Lactate banyak digunakan oleh sistem fisiologi tubuh dalam penghasilan tenaga tubuh dan otak.

Toksin dapat diuruskan sendiri oleh sistem limfatik(longkang) dalam badan kita sendiri melalui organ hati (liver) dan juga buah pinggang.
Air kencing kita juga salah satu hasil toksin dan buangan nitrogenus daripada buah pinggang. Terdapat jalan cerita dan proses yang berlaku di dalam setiap organ tersebut bagi menunjukkan bagaimana proses penapisan dan pembuangan bahan yang tidak perlu serta toksin.
Saya tak berniat untuk menceritakan prosesnya di sini kerana kalau saya menghuraikannya di sini sudah pasti anda yang membaca akan tertidur. Haha.
Toksin juga dapat dikeluarkan daripada tubuh badan kita dengan bersenam hasil daripada proses perpeluhan yang berlaku. Jadi anda tidak perlu mempercayai bahawa dengan urutan dapat membuang toksin di dalam badan anda dan pergilah bersenam dengan lebih kerap.
Ada juga yang mendakwa bahawa selepas urutan perlu minum banyak air untuk membantu pembuangan toksin dengan lebih lancar.
Ya sememangnya betul selepas urutan, kadangkala anda akan berasa sangat haus. Tetapi fungsi utama untuk minum bukanlah untuk melancarkan pembuangan toksin, tetapi hanya sekadar untuk proses rehidrasi sahaja. Kerana rasa haus merupakan cara badan kita berinteraksi bahawa dalam badan kita kekurangan air dan perlukan air. Itu sahaja.
Tidak ada bukti saintifik yang mengatakan dengan minum air selepas sesi urutan dapat membantu pembuangan toksin dengan lebih baik.
Â
Mitos Urut Popular 4 : Selepas Urut Tidak Boleh Mandi
Saya juga pelik kenapalah mandi pun nak dilarang oleh sebahagian tukang urut sebelum atau selepas sesi. Kata mereka mandi akan mengganggu perjalanan darah kerana ketika selepas urutan, pori-pori di kulit akan terbuka serta molekul darah sedang giat berjalan di seluruh tubuh badan.
Kalau ini tukang urut yang agak bijak sikit bermain dengan fakta sains juga walaupun tiada asal, ada yang lowergrade sikit yang mengatakan memang pantang larangnya. Bila ditanya kenapa tak dapat jawab cuma katanya memang pantang orang tua-tua sebelum dan selepas tidak dibenarkan mandi.
Mungkin sewaktu tidur akan disampuk jin kot. Ataupun Jin teman tidur di sebelah bagi yang bujang.
Sebenarnya dakwaan ini merupakan satu dakwaan yang juga tidak berasas.
Nasihat saya, mandi sahaja lah kalau awak rasa hendak mandi selepas urutan. Kerana ketika sesi urutan sedang berjalan, kebanyakan tukang urut akan menggunakan pelbagai jenis minyak dan losyen untuk menggurangkan geseran. Tambahan pula bagi mengurangkan kesakitan urutan. Sudah tentu selepas urutan, minyak dan losyen yang melekat di badan kita membuatkan tidak berapa selesa.
Lagipun tiada satu bukti saintifik pun yang mengatakan mandi sebelum dan selepas urutan memberikan kesan yang buruk kepada fizikal dan sistem fisiologi tubuh badan!
Mitos Urut Popuar 5 : Konsep ‘Transfer’ Angin
Untuk mitos yang terakhir ialah berkaitan dengan angin. Pernah dengar tukang urut berderak sendawa ketika sedang mengurut pelanggan?
Dakwa si tukang urut itu merupakan satu proses pembuangan angin dalam badan pelanggan. Proses ini boleh berlaku sama ada melalui pelanggan sendiri mahupun tukang urut kerana sentuhan fizikal berlaku.
Kadang-kadang tukang urut ni pun macam sedang menginovasikan cerita kartun pula dengan dakwaan yang tidak berasas. Mana mungkin angin boleh ‘ditransfer’ melalui badan ke badan yang lain. Kadang-kadang kelakar pula. Haha.
Tidak dinafikan di dalam sistem darah kita mempunyai gas atau bahasa orang melayunya ialah angin. Tetapi gas yang ada dalam darah merupakan gas yang penting untuk sistem respirasi manusia. Gas tersebut ialah oksigen dan karbon dioksida.
Secara ringkasnya, gas oksigen diperoleh daripada udara luar badan lalu diangkut ke paru-paru lalu dihantar ke seluruh tubuh badan menggunakan sel darah merah (Haemoglobin).
Manakala, proses penghasilan karbon dioksida dalam badan kita pula terhasil daripada penguraian kandungan karbon dari pemakanan yang kita ambil melibatkan pertukaran kepada glukosa dan sebagainya. Lalu karbon dioksida yang terhasil itu dilarutkan dalam darah dan akan dihantarkan ke paru-paru. Hasilnya karbon dioksida pun dilepaskan dari badan.
Dan ada juga gas tambahan yang dilepaskan ke dalam sistem peredaran darah kita apabila aktiviti urutan berlaku. Gas tersebut ialah Nitrik oksida yang mana gas ini menggalakan proses vasodilasi ( pengembangan salur darah) untuk berlaku.
Maka gas dalam badan atau angin kata orang melayu itu memang wujud di dalam badan tetapi nak katakan ‘transfer’ angin berlaku antara tukang urut dan pelanggan apabila sesi urutan sedang dijalankan tidak ada asalnya.
Trivia: Manfaat Urutan
Urutan sememangnya ‘non-surgical treatment‘ yang sangat berkesan untuk pemulihan fizikal serta mental seseorang individu.
Jika ada seseorang atlet yang beraksi di peringkat tinggi, mendapatkan khidmat urutan sebelum,semasa dan selepas perlawanan sememangnya membantu dalam meningkatkan prestasi dan ‘mood’ yang baik sewaktu beraksi.
Menurut kajian daripada University of California di Los Angeles yang dilakukan 3 orang penyelidik iaitu [ Vera Morhenn, MD; Laura E. Beavin, MA; Paul J. Zak, PhD ] pada tahun 2012, apa yang mereka temukan ialah urutan dapat membantu menggalakkan pengeluaran hormon Oxytocin dan mengurangkan pengeluaran hormon Adrenocorticotroponin dalam badan individu selepas sesi urutan dijalankan.

Hormon Oxytocin ini selain sangat berguna untuk membantu proses kelahiran bayi, ianya juga membantu dalam menaikkan ‘mood’ positif seseorang. Oxytocin juga boleh dikategorikan sebagai ‘hormon kemanjaan’ kerana ianya termasuk dalam kategori hormon keseronokkan yang lain seperti Serotonin,Endorfin dan Dopamine.
Hormon Adrenocorticotroponin (ACTH) pula merupakan hormon yang menggalakkan pengeluaran hormon Cortisol di dalam darah. Ketika seseorang itu mengalami stress dalam kehidupan, ACTH ini yang dirembeskan oleh kalenjar pituitari akan merangsang pula kalenjar adrenal untuk merembeskan hormon Cortisol ke dalam darah. Kadar hormon Cortisol yang terlalu tinggi memberikan risiko individu tersebut menghadapi tekanan darah tinggi dan stress yang melampau.
Pendek kata, dengan urutan dapat membantu sedikit sebanyak menurunkan kadar pengeluaran hormon ACTH dan Cortisol ini lalu memulihkan emosi dan memastikan seseorang itu kembali dalam ‘mood’ nya yang normal.
Kesimpulan
Walaupun urutan itu sendiri memberikan kelebihan dan manfaat dari pelbagai aspek, namun tidak dinafikan ada juga mitos-mitos yang masih berlegar dalam kalangan masyarakat dan antaranya adalah seperti 5 perkara yang telah saya senaraikan di atas.
Moga terjawab persoalan di minda anda tentang adakah betul apa yang diperkatakan oleh tukang urut anda atau sekadar mitos semata selepas membaca penulisan ini.
Anda ada sebarang cadangan, pendapat dan penambahbaikan? Boleh sertakan di ruangan komen!
Â
No Comment! Be the first one.