Jika anda seorang yang aktif bersukan mahu pun sering terlibat dalam aktiviti fizikal yang bersifat lasak, kecederaan merupakan satu perkara yang agak normal untuk dialami. Bila bercerita tentang kecederaan, pernah tak anda mengalami sesuatu kecederaan yang sering berulang? Tahukah anda, kecederaan yang berulang juga mempunyai perkaitan dengan program rehabilitasi yang tidak betul?
Apa Itu Rehabilitasi?
Rehabilitasi dalam bahasa mudah ialah proses pemulihan. Kebiasaannya proses rehabilitasi ini dijalankan oleh individu yang berkelayakan dan bertauliah seperti ahli fisioterapi atau pun juruterapi fizikal (physical therapist).
Program rehabilitasi ini bertujuan untuk mengembalikan fungsi asal tubuh badan untuk kembali melakukan aktiviti sukan tanpa ada sebarang permasalahan selepas pulih daripada kecederaan.
Aktiviti rehabilitasi ini boleh dipecahkan kepada beberapa jenis antaranya ;
- senaman fisioterapi/kecergasan
- urutan
- hidroterapi
- terapi shortwave
- terapi ultrasound
dan sebagainya.
Maka, sebelum merangka program rehabilitasi yang bersesuaian dengan keperluan atlet, perancangan yang rapi perlulah dibuat untuk memastikan program latihan yang dibina itu mampu untuk mencapai keputusan yang positif kepada para atlet.
Artikel Ini Untuk Siapa?
Saya terfikir untuk menulis artikel ini adalah khusus untuk mereka yang baru terlibat secara langsung dalam bidang terapi dan kecergasan fizikal. Berinteraksi dengan seseorang individu atau atlet yang mahu pulih daripada kecederaan memerlukan sedikit kebijaksanaan dalam membuat keputusan dalam perangkaan model latihan. Sudah semestinya lain individu mempunyai program latihan yang berbeza.
Kadangkala, timbul beberapa persoalan daripada mereka apakah elemen-elemen yang perlu diambil kira dahulu sebelum merancang program pembangunan latihan pemulihan. Jadi saya rasakan elok untuk saya himpunkan beberapa tips beserta dengan rasional pemilihan tips tersebut.
Tips yang saya cadangkan ini juga adalah berdasarkan cara saya sendiri dalam merancang model latihan pemulihan kepada atlet-atlet yang tercedera. Mungkin juga berguna untuk anda yang membaca.
#Tips 1 : Spesifikkan Model Latihan Rehabilitasi Ikut Individu
Seorang ahli fisioterapi atau terapi fizikal yang baik pastinya akan merangka satu model latihan pemulihan kecederaan sesuai dengan keperluan atlet ataupun pelanggannya. Penggunaan model latihan yang sama untuk atlet yang berbeza adalah satu langkah yang kurang tepat walaupun kecederaan yang dialami hampir sama.
Hal ini demikian kerana, setiap individu mempunyai keupayaan dan kemampuan yang berbeza untuk beradaptasi dalam program latihan pemulihan yang telah dirangka.
Rangkaan program latihan perlulah mengambil kira dari segi berikut ;
a) JantinaÂ
Sudah tentu kemampuan atlet lelaki tidak sama dengan kemampuan atlet perempuan. Perlu sesuaikan jenis latihan yang hendak dilaksanakan relevan untuk dilakukan mengikut kesesuaian jantina.
b) Umur
Mengapa kenal pasti umur penting?
Kerana setiap peringkat umur mempunyai sistem fisiologi dan pengadaptasian kepada latihan yang berbeza-beza. Kemahiran mengawal tingkah laku dari aspek psikologi dan emosi juga berbeza-beza mengikut umur.
Jika kita letakkan satu program latihan orang dewasa kepada kanak-kanak yang berusia <10 tahun sudah tentu keputusan juga akan berbeza.
Begitu juga program latihan pemulihan orang dewasa diaplikasikan kepada program pemulihan orang tua. Sudah tentu golongan tua akan sukar beradaptasi dengan volume dan intensiti latihan golongan muda.
Sebab itulah saya katakan, perlu dilihat kelompok usia atlet agar setiap latihan yang dirangka bersesuaian dengan keperluan dan kemampuan mereka.
c) Jenis dan Tahap Kecederaan Â
Tidak boleh kita sebagai seorang ahli terapi fizikal mengenakan pengaplikasian latihan pemulihan yang sama bagi setiap atlet walaupun kecederaan atlet berada pada sendi yang sama.
Contoh mudah yang saya boleh beri, jika seorang atlet mengalami kecederaan ligamen medial (MCL) di lutut, dan seorang lagi mengalami kecederaan ligamen anterior (ACL) juga di lutut, kita tidak boleh pakai program latihan yang sama bagi setiap elemen dalam model latihan.
Biar pun berada pada bahagian sendi yang sama iaitu lutut, tetapi ianya melibatkan ligamen yang berbeza. Perkataan berbeza itu sudah tentu menuntut rangkaan modul pemulihan yang juga berbeza.
Tahap kecederaan juga sangat penting untuk diambil kira. Adakah ianya melibatkan ketegangan? Atau pun koyakan separuh? Koyakan penuh? Ataupun keretakan.
Semua ini penting untuk rangkaan program latihan yang baik untuk mempercepat proses pemulihan menjadi lebih optimum.
d) Atlet atau Bukan Atlet
Dalam merancang program rehabilitasi untuk individu yang baru pulih dari kecederaan pula, melihat kepada latar belakang seseorang itu adakah mereka dalam kelompok atlet atau bukan atlet adalah satu perkara yang sangat penting.
Ini membolehkan pengaplikasian modul latihan dari aspek intensiti dan volume itu bersesuaian dengan kemampuan individu tersebut.
Jika kita mengaplikasi program rehabilitasi atlet berprestasi tinggi kepada golongan bukan atlet, sudah tentu mereka akan terasa beban dengan program latihan yang dijalankan.
d) Tetapkan Matlamat Untuk Dicapai
Matlamat amat penting untuk membina psikologi dan mental seseorang atlet untuk maju ke depan. Satu ‘pushing factor’ dapat diwujudkan untuk memastikan atlet mendapat motivasi untuk mencapai matlamat.
Apabila ada matlamat yang perlu dicapai, hala tuju dan ansur maju dalam melakukan latihan rehabilitasi menjadi lebih tersusun dan sistematik.
#Tips 2 : Fokus Pada Penyelesaian Masalah Atlet
Sebagai seorang ahli fisioterapi atau juruterapi fizikal yang baik, mengenal pasti masalah atlet adalah satu perkara yang amat penting sebelum merangka program rehabilitasi.
Masalah yang dimaksudkan itu adalah berkaitan dengan kecederaan atau apa-apa sahaja perkara yang menyebabkan pergerakan seseorang atlet itu terbatas dan tidak seperti kebiasaan.
Contohnya, apabila seseorang atlet itu baru sahaja terlibat dalam pembedahan bahu. Sebelum rangkaan program rehabilitasi dibuat, satu ujian spesifik untuk mengenal pasti bahagian ligamen mana yang sakit, atau pergerakan sendi mana yang hilang darjah pergerakan kesan daripada kecederaan atau pembedahan yang telah dilakukan.
Langkah ini penting agar kita dapat ‘attack‘ masalah yang dihadapi sesuai dengan kaedah penyelesaian masalah itu dengan betul dan efisyen.
Baca Juga : Lebih Peluh, Lebih Kalori Dibakar. Fakta atau Auta?
Melalui ujian spesifik ini, kita dapat membuat jangkaan dan perkaitan apakah yang menyebabkan atlet tidak berjaya mengangkat bahunya lebih dari paras 90 darjah.
Sekiranya, atlet mampu mengangkat tangannya dalam pergerakan abduksi hanya pada kadar 90 darjah sahaja, maka kita perlu merancang apakah pelan latihan yang sesuai untuk mengembalikan semula darjah pergerakannya pada kadar yang biasa.
Adakah perlu mengadakan senaman yang memberikan kekuatan semula kepada otot bahu, mahupun merancang aktiviti yang menggalakkan pengadaptasian darjah pergerakan yang lebih luas.
Semua ini bergantung kepada situasi semasa atlet dan juga kebijaksanaan ahli fisioterapi dan juruterapi fizikal untuk menyelesaikan masalah kecederaan yang dialami oleh atlet.
Utamakan Pemeriksaan Klinikal Berbanding Keputusan MRI
Ya, pengimejan magnetik resonans (MRI) merupakan teknologi yang sangat membantu dalam membantu pihak pasukan perubatan mengenal pasti apakah keadaan sebenar yang berlaku pada ligamen, tendon dan struktur fiber otot yang mengalami kecederaan.
Tetapi terlalu bergantung kepada keputusan yang dipaparkan oleh MRI semata-mata tanpa mengambil kira situasi sebenar yang dialami oleh atlet juga merupakan budaya yang perlu diubah.
Hal ini demikian kerana, kadangkala teknologi tersebut juga memberikan gambaran yang kurang tepat daripada realiti situasi sebenar.
Contoh yang saya boleh beri, dalam satu kajian melibatkan 230 subjek kajian yang menjalani proses pengimejan magnetik resonans (MRI)Â yang telah diterbitkan kedalam PubMed, mendapati 97% daripada subjek tersebut mengalami masalah dan ketidak-normalan pada lutut mereka melibatkan struktur kartilej, ligamen, meniscus dan patella tendon.
Menariknya, majoriti subjek yang terlibat tidak mempunyai rasa sakit atau apa-apa simptom normal yang dialami oleh individu yang mengalami kecederaan lutut. Namun, imbasan menunjukkan ‘sesuatu’. Saya sertakan sekali kertas kajian di bawah, anda boleh baca dengan lebih terperinci.
Bacaan lanjut : Klik Sini
Jika benar sekalipun ‘sesuatu’ yang telah dipaparkan oleh MRI tersebut, tidaklah menjadi satu keperluan untuk kita melakukan pembedahan atau pun merangka program latihan tambahan untuk memenuhi imbasan yang telah dilakukan itu.
Jika ‘sesuatu’ yang ditunjukkan itu tidak pun menunjukkan simptom keterbatasan darjah pergerakan sendi atau menghalang individu daripada melakukan aktiviti harian yang normal seperti melompat, berlari dan sebagainya, kemungkinan hasrat kajian lanjutan untuk perkara itu boleh ditangguhkan buat sementara waktu dahulu.
Apa yang penting ialah, kita selesaikan dahulu masalah kecederaan semasa yang dialami oleh atlet tersebut.
Adakah MRI Tidak Berguna Langsung?
Bukan begitu. MRI sangat membantu dalam pasukan perubatan membuat keputusan rawatan lanjut.
Cuma, jangan jadikan sebagai sumber rujukan tunggal dalam merangka program pemulihan lanjut kepada atlet. Sebaliknya, sentiasa mengutamakan pemeriksaan klinikal yang melibatkan pemerhatian (inspection), sentuhan (palpation) atau mungkin boleh melibatkan sedikit ketukan (percussion) sebagai langkah pertama dalam mengendalikan atlet yang cedera.
Pemeriksaan klinikal lebih menyeluruh dan melibatkan penyertaan emosi atlet yang lebih tepat. Kita dapat mengenal pasti pergerakan manakah yang menyakitkan atau menghalang pergerakan sendi.
Dengan ini, penyediaan model latihan pemulihan adalah lebih berkesan dan sesuai dengan permasalahan atlet secara realiti.
Keputusan MRI hanyalah sebagai sokongan untuk rawatan susulan sahaja.
#Tips 3 : ‘Keep It Simple’ dalam Rehabilitasi
Kadangkala, bukan semua benda kita kena ada perlaksanaan yang kompleks, panjang berjela dan menyusahkan. Begitu jugalah konsepnya dengan perangkaan modul latihan rehabilitasi. Kerana apa yang kita hendak capai adalah bukan berapa kompleks sesuatu latihan itu diadakan.
Akan tetapi tujuan program rehabilitasi adalah untuk melihat perubahan dan ansur maju seseorang atlet dalam melakukan sesuatu perlakuan yang sering dilakukannya kembali pada keadaan yang normal.
Baca Juga : 4 Nutrisi Terbaik Untuk Kecederaan Tendon & Ligamen
Jika individu itu seorang atlet berprestasi tinggi, dengan program rehabilitasi yang khusus dirangka dapat membantunya kembali beraksi dalam sukan yang diceburi tanpa ada sebarang masalah seperti penurunan prestasi dan sebagainya.
Begitu juga dengan individu bukan atlet, mereka dapat kembali menjalani kehidupan seharian mereka tanpa ada halangan kesakitan, ketidakselesaan dan lain-lain faktor yang bersangkut-paut dengan kecederaan yang dalaminya.
Simple yang macam mana?
Simple yang saya maksudkan adalah program latihan yang dirangka itu tidaklah terlalu membebankan mahupun terlalu mudah tetapi tetap dapat memberikan kesan yang positif kepada perkembangan pemulihan atlet.
Kompleksiti bukanlah indikator yang tepat untuk menunjukkan sesuatu program itu bagus dan berkesan. Apalah guna rangka program latihan yang mempunyai 30 jenis serta set dan repetisi yang banyak tetapi akan menyebabkan atlet tidak konsisten melakukannya.
Â
Begitu juga dengan perangkaan latihan yang terlalu mudah, takut-takut latihan yang dilakukan itu tidak memberikan kesan yang signifikan dek kerana latihan yang terlalu santai.
Biarlah rangkaan program itu lebih realistik dengan latar belakang individu (lihat point 1) agar matlamat yang telah disasarkan itu berjaya dicapai dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.Â
Mungkin untuk lebih faham definisi ‘keep it simple‘ yang saya cuba sampaikan, untuk situasi rehabilitasi kecederaan ligamen lutut anterior (ACL), mungkin boleh boleh memasukan 2-3 jenis senaman sahaja untuk setiap elemen kecergasan fizikal seperti kekuatan, kuasa, ketangkasan, keseimbangan dan apa-apa yang berkaitan yang meliputi set dan repetisi yang sesuai dengan matlamat yang telah disasarkan.
Yang paling penting kesemua senaman dapat dilakukan mengikut intensiti dan volume yang telah dirancang dan disasarkan.
#Tips 4 : Pantauan Latihan Rehabilitasi Yang Berterusan
Dalam memastikan matlamat yang telah disasarkan itu berjaya untuk dicapai, konsistensi merupakan satu perkara yang perlu dititik beratkan bukan sahaja untuk atlet malahan juga untuk juruterapi fizikal atau fisioterapi.
Konsistensi dapat membantu perkembangan pemulihan seseorang atlet untuk kembali beraksi selepas kecederaan yang dialaminya.
Konsistensi yang cuba saya maksudkan bukanlah bermakna latihan itu dijalankan secara berterusan tanpa hari rehat, tetapi program latihan yang dijalankan itu dilakukan secara berterusan diselangi dengan waktu-waktu rehat.
Contohnya dalam 7 hari dalam seminggu, latihan berlangsung selama 3 atau 4 kali seminggu diselangi dengan 3 hari rehat yang tidak berturutan.
Rehat Yang Macam Mana?
Rehat juga boleh dipelbagaikan dengan rehat aktif dan rehat pasif. Rehat aktif ini bukanlah bermakna atlet tidak melakukan aktiviti apa-apa sepanjang tempoh yang dipanggil rehat itu. Jika sedemikian, itu dinamakan rehat pasif.
Rehat aktif ini atlet tetap melakukan aktiviti tetapi bukan aktiviti yang bercorak latihan dengan intensiti dan volume tertentu.
Tetapi lebih kepada melakukan aktiviti selain daripada program latihan yang dirangka cuma lebih santai seperti berenang, berjalan dalam air dan sebagainya. Mungkin boleh dilakukan 2 hari untuk rehat aktif dan 1 hari rehat pasif.
Perkara ini sangat penting bukan sahaja untuk ansur maju pemulihan atlet, tetapi juga dapat membantu meningkatkan prestasi atlet selepas pulih daripada kecederaan. Perkara ini dipanggil sebagai fasa super-compensation di mana atlet dapat mencapai prestasi yang optimum selepas kembali daripada fasa rehat yang telah dilaksanakan.
Rehat yang cukup amat penting untuk dimasukkan dalam tentatif latihan. Hal ini demikian kerana bagi mengelakkan atlet mengalami simptom ‘burn-out‘ atau ‘over-training‘. Jika perkara ini berlaku, bukan sahaja prestasi malah motivasi atlet juga akan terganggu.
Potensi untuk atlet berhenti melakukan program rehabilitasi yang telah dirancang adalah sangat tinggi sekiranya dua simptom tersebut dialami oleh seseorang atlet yang sedang dalam fasa pemulihan.
Â
#Tips 5 : Sentiasa Berikan Penjelasan
Sebagai seorang juruterapi fizikal dan fisioterapi yang baik, amat digalakkan untuk sentiasa memberikan penjelasan pada setiap perlakuan yang kita arah kan kepada atlet.
Penjelasan ini bukanlah bermakna kita perlu memberikan satu sesi kuliah khas kepada atlet, menerangkan secara terperinci mekanisma latihan yang telah diimplementasikan secara saintifik.
Tetapi cukup sekadar menerangkan kenapa senaman ini dilakukan, dan apa kesannya terhadap perkembangan pemulihan otot yang tercedera.
Apabila anda mengarahkan atlet anda untuk melakukan lakuan aktiviti yang telah dirancang, contohnya aktiviti heel touch to reverse lunge untuk aktiviti pemulihan ACL, anda berikan penjelasan apakah rasional melakukan aktiviti tersebut dan kesan kepada pembinaan semula kekuatan otot yang terlibat (quadriceps).
Anda juga boleh melakukan penjelasan lanjut seperti apakah kesan signifikan melakukan sesuatu aktiviti yang telah dirancang itu untuk membantu mengurangkan risiko kecederaan yang dialami daripada berulang.
Dengan ini, atlet di bawah seliaan anda akan lebih tahu apakah sebab dia perlu melakukan sesuatu aktiviti dan lebih bersemangat untuk melakukan aktiviti tersebut.
#Tips 6 : Berikan Suntikan MotivasiÂ
Kadangkala, kecederaan yang dialami oleh seseorang atlet benar-benar menguji kesabaran dan mental mereka. Mana tidaknya, sekiranya mereka di kalangan atlet profesional, menyaksikan rakan sepasukan sibuk menjalani latihan dan terlibat dalam persiapan pasukan untuk menghadapi perlawanan liga mahupun sesuatu kejohanan.
Sebaliknya, mereka yang cedera ini menghabiskan hari-hari suram melakukan program rehabilitasi bersama jurulatih kecergasan,fisioterapi ataupun juruterapi fizikal di dalam gymnasium.
Begitu juga individu yang tidak terlibat secara langsung dalam kancah profesional, melihat rakan-rakan yang lain bebas melakukan aktiviti seperti bermain futsal, badminton dan tenis tanpa ada sebarang masalah kecederaan begitu memilukan. Mungkin aspek psikologi dalam sukan bukanlah tugas juruterapi fizikal ataupun fisioterapi, tetapi anda tetap boleh memberikan suntikan motivasi kepada atlet di bawah seliaan anda.
Berikanlah kata-kata semangat, dorongan serta sokongan moral kepada atlet agar tidak berputus asa dan berasa bosan menghadapi hari-hari latihan pemulihan yang telah diaturkan. Â
Kesimpulan
Proses rehabilitasi yang betul dan terancang sangat memainkan peranan yang sangat penting dalam proses pemulihan daripada kecederaan yang dialami oleh seseorang atlet.
Tidak dinafikan, risiko kecederaan itu sentiasa ada. Namun, melalui proses pembangunan model latihan pemulihan yang berkesan dan terancang dapat mengurangkan risiko kecederaan berulang daripada berlaku.
Pengaplikasian ilmu berkaitan dengan aspek kecergasan fizikal dan psikologikal perlu dititikberatkan dalam membantu menghasilkan program pemulihan yang berkesan dan terancang. Sentiasa ‘up to date‘ dengan kajian-kajian semasa agar perangkaan model latihan sentiasa relevan untuk keperluan semasa atlet.
Akhir kata, tips rehabilitasi ini juga berdasarkan pengalaman peribadi saya beserta gabungan ‘prior knowledge‘ yang sedikit semasa mengendalikan beberapa orang atlet yang mengalami kecederaan.
Saya amat alu-alukan buat anda yang membaca sekiranya terdapat usul cadangan,kritikan, komentar mahu pun penambahbaikan untuk memberikan komentar di ruangan komen.
Semoga bermanfaat.
[…] Baca Juga : 6 Tips Rehabilitasi Untuk Kecederaan Sukan […]