Menjalin hubungan cinta sebelum berkahwin merupakan satu perkara biasa dalam majoriti masyarakat di seluruh dunia. Persoalannya di sini adakah dilarang sama sekali menjalin hubungan cinta sebelum kahwin menurut perspektif Islam?
Ikatan cinta antara dua hati yang akhirnya diterjemahkan dengan perkahwinan merupakan satu impian bagi setiap insan. Jika ditanya kepada 97.99% penduduk di seluruh pelosok dunia, antara impian yang ingin dicapai sebelum menghembuskan nafas terakhir di muka bumi ini pastinya mahu memiliki keluarga yang bahagia bersama pasangan tersayang.
Mungkin baki 2% lagi mempunyai sifat cinta kepada jantina sejenis, gila mahupun ada kisah silam yang menutup pintu hati mereka untuk bercinta dan berkahwin.
Namun, persoalan bermain di fikiran sekarang bagaimana untuk berkahwin sedangkan perasaan cinta itu tidak hadir dalam jiwa raga seseorang insan? Mungkin solusi orang-orang tua dan para agamawan mencadangkan untuk memahami erti cinta itu selepas perkahwinan dilangsungkan. Tetapi bukan-kah perkara ini melanggar fitrah normal seorang insan untuk berkenalan dengan lebih rapat dahulu dengan seseorang sebelum perasaan cinta itu muncul? Jika selepas perkahwinan dilangsungkan, perasaan cinta itu tidak muncul, bagaimana untuk mengendalikan perkara ini walhal mereka sudah pun berkahwin?
Definisi Cinta
Bercinta itu bukanlah hanya tertumpu kepada sayang kepada pasangan semata. Sayang akan keluarga itu cinta. Sayang kepada sahabat itu cinta. Sayang akan harta juga cinta. Pokok pangkalnya cinta itu adalah perasaan kasih dan sayang yang disemai dari lubuk hati seorang insan.

Boleh-kah berpasangan (couple) sebelum berkahwin?
Soalan ini merupakan soalan lazim yang dapat dilihat ditanya oleh ramai golongan muda kepada agamawan dan orang yang kuat pegangan agamanya. Semestinya jawapan lazim ialah haram dan tiada istilah ‘couple islamik’.
Alasan popular yang diberikan golongan pendakwah ialah dengan bercouple ini mendatangkan nafsu syahwat,berkhalwat, mendedahkan diri dengan maksiat dan sebagainya. Secara mudah, istilah bercinta sebelum berkahwin ini pada sudut pandangan mereka mendekatkan diri si pelaku kepada seks dan zina yang membawa kepada kerosakan dan kehancuran. Atau lagi mudah, menggalakkan maksiat.
Didalam Al-Quran ada menyebutkan bahawa janganlah sengaja mendekatkan diri kita dengan zina. Ini berdasarkan Firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat 32 :
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)
Al-Hafiz Imam Ibn Kathir dalam Tafsir-nya menjelaskan bahawa Allah melarang para hamba-Nya daripada melakukan zina dan juga perkara yang membawa dekat kepada zina seperti sebab-sebab dan seruan-seruannya. Rujuk Tafsir al-Azim (5/72).
Dan terdapat beberapa tempat lagi di dalam Al-Quran dan hadis bercerita tentang larangan untuk kita sengaja menjerumuskan & mendekatkan diri dalam perkara maksiat. Aku tak berniat untuk ‘quotes’ kesemua-nya kerana tujuan penulisan kali ini lebih bercorak santai dan tidaklah terlalu ilmiah. Sekadar pandangan peribadi.
Cinta itu simbol seks?
Kalau kita lihat di negara barat, melakukan seks selepas hanya sekali pertemuan, memiliki anak luar nikah dan bercumbu serta berpelukan di khalayak ramai mungkin merupakan satu perkara biasa. Hatta, mereka tidak pun berasa malu untuk mendedahkah anak luar nikah yang mereka perolehi bersama dengan pasangan.
Sehinggakan ada segelintir budaya barat, anak yang mereka perolehi daripada seks sebelum berkahwin itu sudah pun mendaftar di universiti, ibubapa mereka masih belum mendaftar untuk berkahwin. Itu di barat dan majoriti yang boleh kita katakan budaya di barat itu, cinta itu mesti diselangi dengan seks.
Namun untuk umat Islam, ia merupakan suatu perkara yang dikeji dan ditegah. Tidak-lah Islam itu mengharamkan seks secara mutlak. Hubungan seks yang ditegah ialah seks yang haram yakni hubungan persetubuhan sebelum berkahwin. Adapun jika selepas berkahwin, hubungan seks antara pasangan yang sah itu halal malah mendapat ganjaran pahala di sisi Allah ‘azza wajal. Ini berdalilkan firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah ayat 223 :
نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ
Maksudnya: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu;”:
Maka menghukum cinta itu merupakan simbol seks secara mutlak adalah tidak tepat. Kerana definisi cinta itu terlalu abstrak untuk diungkapkan. Ia bergantung kepada sesebuah pasangan itu sendiri untuk menterjemahkan sendiri maksud cinta. Boleh jadi ia memudaratkan dan boleh jadi juga ia memberikan kebaikan.
Salahkah mempunyai perasaan cinta?
Kalau kita lihat dalil dan nas daripada Al-Quran dan sunnah, tiada dalil yang jelas menerangkan tentang Nabi SAW melarang untuk kita menyukai seseorang. Itu adalah fitrah normal manusia yang berlainan jantina mempunyai tarikan antara satu sama lain. Malah ia diiktiraf oleh Nabi SAW.
Suka untuk saya bawakan kisah Barirah dan Mughith sebuah pasangan yang sudah berpisah namun Mughith yang juga merupakan seorang hamba masih mencintai Barirah. Kisah ini disebutkan dalam hadis riwayat Imam Al-Bukhari mengenai Nabi bersimpati terhadap Mugith yang masih mencintai Barirah. Dan Nabi mencadangkan Mugith untuk kembali bersama Barirah, namun Barirah enggan berbuat demikian maka Nabi akur.
Kisah ini menunjukkan bahawa Nabi tidak melarang seorang insan itu untuk menyemai perasaan cinta terhadap insan berlainan jantina dan juga kisah ini juga menunjukkan cinta itu bukan paksaan. Ia adalah perasaan yang tulus dan ikhlas yang terbit dari hati seorang insan.
Menyimpan rasa cinta antara lelaki dan perempuan tidaklah dilarang dalam agama ini. Di samping ia boleh berlaku di luar kawalan insan, ia adalah fitrah antara lelaki dan perempuan. Ia tidak songsang. Melafazkan rasa cinta seperti Mughith ungkapkan kepada Barirah juga tidak dilarang.
Cinta sebelum berkahwin
Ungkapan bercinta selepas berkahwin mungkin boleh diaplikasikan tetapi bukan pada semua orang boleh beradaptasi sebab kita perlu berdiri dalam dunia realiti. Jika rasa cinta itu tidak wujud selepas perkahwinan sudah pasti perkahwinan itu akan hambar dan tidak mustahil berakhir dengan penceraian.
Sekilas pandangan saya secara peribadi, bercinta untuk perkahwinan adalah tidak salah. Yang salah ialah bercinta hanya untuk memuaskan nafsu. Sesi percintaan dan berkenal-kenalan sebelum berkahwin adalah perlu untuk kita mengenal pasangan kita secara dengan lebih dekat. Tetapi percintaan yang dimaksudkan ini bukanlah bermakna perlukan sesuatu rutin normal seperti gaya percintaan barat. Perlukan percumbuan, berpelukan dan berpegang tangan. Perkara ini adalah ditegah dan haram di sisi Islam.
Tetapi sekiranya ungkapan tali percintaan ini sekadar berhubung melalui mesej,email dll yang tidak menimbulkan rasa syahwat , serta berjumpa tidak melibatkan perkara-perkara yang haram adalah tidak menjadi masalah. Namun cadangan bercinta selepas berkahwin ini adalah sebaik-baik cadangan sekiranya seseorang itu mampu berbuat demikian.
Kesimpulan
Bercinta itu tidaklah salah dan dilarang dalam Islam. Hanya yang dilarang adalah perbuatan zina dan perbuatan yang mendekati zina. Adapun bercinta yang masih mempunyai jarak antara antara lelaki dan wanita adalah fitrah insaniah. Menghalang fitrah itu boleh memberikan kesan yang buruk dalam jiwa manusia.
Inilah juga yang boleh membawa kecenderungan seks sejenis kerana fitrah asal telah disekat. Jika itu berkembang dalam diri seseorang ia menjadi penyakit yang memusnahkan fitrah asalnya.
Islam tidak sempit. Ia tidak menghalang fitrah. Cinta yang membawa kepada perkahwinan adalah satu kebaikan. Sekiranya kita sudah berpuas hati dengan latar belakang keluarga dan personaliti pasangan itu serta sudah mampu maka adalah sebaiknya kita tamatkan detik percintaan itu dengan perkahwinan.
Jadi, jangan kata Islam mengharamkan perasaan cinta antara lelaki dan wanita. Katakanlah Islam mengharamkan zina dan mendekati zina.
Maka, para pendakwah dan agamawan seharusnya menerangkan dengan lebih terperinci tentang perbezaan antara perasaan cinta dan juga zina sekiranya ditanya. Ia adalah dua perkara yang berbeza.
No Comment! Be the first one.