Adakah kemalasan punca kemiskinan merupakan satu persoalan yang perlu kita renungi sejenak. Menjadi seorang miskin bukanlah satu keadaan yang diinginkan oleh setiap insan. Walaupun definisi miskin itu sendiri terlalu kompleks untuk diungkapkan, bagaimana takrif miskin ini diaplikasikan kepada seseorang dari sudut pandangan apa. Adakah miskin itu miskin dari segi harta, akhlak atau budi pekerti?
Hakikatnya boleh jadi seorang itu seorang yang kaya-raya, namun boleh dilabel sebagai miskin juga kerana kurangnya budi bahasa mereka bersama insan. Boleh jadi juga seseorang itu digelar miskin walaupun memiliki akhlak dan budi pekerti yang tinggi, namun jika tak mampu untuk membeli sebutir beras pun untuk dijadikan hidangan alas perut harian.
Maka, membincangkan isu miskin semata-mata pada satu sudut adalah terlalu sukar kerana miskin ini boleh melanda insan dari pelbagai sudut. Namun kita tinggalkan persoalan tersebut kerana tujuan utama penulisan ini adalah untuk memfokuskan miskin dari segi harta. Senang cerita pasal seorang miskin yang pemalas.
Kemiskinan bukti ketidakadilan Tuhan?
Kalau katakan Tuhan itu bersifat adil, mengapa ada golongan yang masih susah dan status miskin masih membelenggu mereka? Bukankah adil itu bererti sifat kesamarataan pada setiap insan? Persoalan ini merupakan persoalan yang umum dalam kotak pemikiran si miskin. Hakikatnya, miskin, kaya, berjaya dan gagal semuanya telahpun ditetapkan oleh Tuhan sejak di Luh Mahfuz lagi.
Jadi mana keadilan yang digembar-gemburkan itu? Sebenarnya soalan ini adalah soalan yang sangat baik. Jika si miskin terfikir soalan ini dalam kotak fikirannya itu maka dia merupakan seorang yang berfikir dan orang yang berfikir ini adalah orang yang hebat. Walaupun dia diklasifikasikan sebagai seorang yang hebat dari segi literal, penghalang kepada merealisasikan kehebatannya yang sebenar adalah si miskin itu tidak bertindak.
Perbezaan status taraf hidup ini sebenarnya bukti Tuhan itu maha adil. Sekiranya semua orang ditakdirkan Tuhan menjadi jutawan dan kaya raya, maka tiada siapalah yang mahu melakukan kerja-kerja golongan kebiasaan seperti kerja mengutip sampah, tukang cuci, pemandu dan sebagainya. Dah semuanya nak jaga standard. Katakan semuanya ditakdirkan Tuhan menjadi miskin, maka akan mundurlah proses kehidupan. Maka insan itu saling melengkapi.
Memetik Firman Allah SWT dalam Surah Al-Zukhruf ayat 32 :
أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ ۚ نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُمْ مَعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۚ وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَتَّخِذَ بَعْضُهُمْ بَعْضًا سُخْرِيًّا ۗ وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ
“Apakah mereka yang membagi-bagi rahmat Tuhanmu? Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan Kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebagian yang lain beberapa derajat, agar sebagian mereka dapat memanfa’atkan sebagian yang lain. Dan rahmat Tuhanmu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan”
Menurut tafsiran Al-Hafiz Ibn Katsir Rahimahumullah :
Menurut suatu pendapat, makna ayat ialah agar sebagian dari mereka dapat memanfaatkan sebagian yang lain untuk melakukan pekerjaan. Lemah memerlukan yang kuat dan begitu pula sebaliknya. Demikianlah menurut pendapat Qatadah dan lain-lainnya. Qatadah dan Ad-Dahhak mengatakan bahwa makna yang dimaksud ialah agar sebagian dari mereka dapat menguasai sebagian yang lain maka rahmat Allah kepada makhluk-Nya lebih baik bagi mereka daripada harta benda dan kesenangan duniawi yang ada di tangan mereka.
Namun kesilapan si miskin pula di sini ialah apabila ditakdirkan dalam golongan miskin, mereka seolah selesa dan tidak ada usaha untuk menaik taraf hidup mereka kepada satu status yang tidaklah kaya tetapi cukup.
Malas menjerumus kepada kemiskinan
Perkara ini sebenarnya dah lama berlegar-legar dalam kotak fikiran saya sejak dulu lagi. Namun setelah melihat hasil penulisan SS Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainal Abidin, terus saya terasa mahu mengeluarkan suara hati aku yang telah lama terpendam tentang isu ini.
Di artikel beliau, beliau menyatakan kekesalan terhadap persekitaran dan tempat tinggal golongan yang mahu menerima bantuan daripada pihak Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs) yang tidak ada sedikit usaha pun untuk ‘mengemas’ kawasan kediaman mereka sungguhpun telahpun dimaklumkan bahawa mereka juga akan dikunjungi oleh Tuanku Raja Muda Perlis. Kata beliau lagi, kehidupan yang dhaif tidak sepatutnya dijadikan alasan sehingga menjadi seorang yang pengotor.

Alasan demi alasan
Dari sudut kehidupan yang aku lalui hasil jalinan persahabatan dengan kawan yang kurang bernasib baik ini pula, mereka juga seolah-olah berserah sahaja kepada takdir tanpa ada sedikit pun usaha untuk meningkatkan kualiti hidup mereka dan cuba mencari ‘jalan’ untuk keluar daripada kepompong kesusahan.
Setiap keluhan yang diluahkan, saya banyak juga memberikan idea untuk mereka cuba bagi menyelesaikan masalah kewangan yang mereka hadapi. Antaranya belajar menukarkan kemahiran yang dipelajari kepada sumber pendapatan sampingan. Contohnya dalam kursus yang dipelajari ada menyediakan kursus jahitan, boleh sahaja menggunakan kemahiran yang ada itu untuk buka servis menjahit kepada sesiapa yang berminat. Jika berada dalam kursus yang tak melibatkan kemahiran, cuba gali dan terokai apa yang boleh dilakukan. Setidaknya dapatlah juga untuk kurangkan sedikit masalah kewangan yang dihadapi.
Namun, 1001 alasan diberikan alasannya tidak reti, tidak mampu dan sebagainya. Sudahnya masa yang terluang tidak digunakan untuk perkara yang meningkatkan nilai tambah diri dan lebih memilih untuk bermain PUBG, Mobile Legend dan seangkatan dengannya. Nak main tiada masalah cuma perlu disusun mengikut keperluan dan kesesuaian masa.
Dari sudut pandangan tidak reti, setiap insan yang berjaya dengan skill yang mereka perolehi juga bermula daripada tidak reti. Seorang Bill Gates sebelum berjaya dengan syarikat Microsoft miliknya juga bermula dengan tidak reti. Seorang Mark Zuckerberg juga sebelum berjaya dengan aplikasi Facebook yang kini diggunakan hampir seluruh penduduk dunia juga bermula dengan tidak reti dan kegagalan.
Kisah Si Peminta Sedekah

Saya nak ceritakan satu kisah di mana seorang peminta sedekah duduk sugul di hadapan pintu Maybank mengharapkan ada orang ramai menghulurkan sumbangan wang kepadanya. Baju yang agak lusuh serta tasbih di tangan menghadirkan sedikit rasa sedih dan kesian padanya.
Saya mencari juga mana-mana anggota badan lelaki itu yang tak sempurna. Tapi semuanya sihat sahaja. Badannya pun agak sasa dan agak ‘semangat’ juga. Tetapi dalam fikiran saya pada masa itu ialah kenapa dia tak bekerja? Kalau tiada kelayakan, banyak juga kerja seperti warung, ‘carwash’ dll kerja yang tidak pun memerlukan kemahiran dan kelayakan khusus untuk diterima bekerja. Lalu datang seakan ibu peri putih membisikkan :
‘‘ jangan bersangka buruk mungkin ada masalah yang dia hadapi yang kita taktahu menyebabkan dia tidak boleh bekerja”
Bisikan ibu peri dari sinetron itu cukup kuat membuatkan saya bersangka baik dan menghulurkan sedikit sumbangan kepada pengemis tersebut.
Beberapa hari selepas kejadian, saya pergilah ke ‘cybercafe‘ kerana perlu menyiapkan kerja serta memerlukan data internet yang laju. Alangkah terperanjat ibarat berjumpa dengan hantu kak limah dibuatnya apabila ternampak pengemis tersebut yang sugul di depan pintu Maybank tempoh hari meminta sedekah sedang asyik layan ‘Blackshot’ di CC tersebut. Dalam hati saya jahanam betul pengemis ini dan ibu peri hari itu.
Joran dan Ikan

Jika di analogikan dengan joran dan ikan, mereka ini lebih gemar untuk menerima sumbangan ikan sahaja daripada menerima sumbangan joran.
Jika tidak ada sumbangan ikan pada hari tersebut, maka tiadalah mereka ada makanan pada hari tersebut. Kenapa tidak mereka memilih sumbangan joran, lalu menggunakan joran itu untuk menangkap ikan? Lalu jaminan makanan mereka pada hari-hari yang menjelang sudah pasti ada.
Maka, mereka ini sebenarnya secara ringkas ialah seorang yang pemalas sahaja. Seorang pemalas yang tidak ada keinginan untuk cuba keluar dari zon kesusahan. Tidak ada ikhtiar bagaimana mahu mengubah nasib hidup seterusnya keluar dari kepompong kemiskinan.
Kesimpulan
Tidak sesekali untuk saya mengeji sesiapa yang miskin. Tetapi saya cukup kecewa dengan sikap segelintir miskin yang langsung tidak ada ikhtiar serta cuba mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka sendiri. Lihat sahaja kisah peminta sedekah yang saya ceritakan di atas, duit yang diperolehi dari bersedekah bukannya digunakan untuk jalan yang betul. Malah digunakan untuk perkara yang tak bermanfaat.
Kan lebih elok jika dia menggunakan duit hasil pemberian orang untuk perkara yang lebih memberi manfaat pada diri. Contohnya beli makanan supaya ada tenaga, lalu menggunakan tenaga yang ada itu untuk pusing bandar mencari kerja. Ada rezeki ada, tiada rezeki boleh cuba pada hari yang lain.
Rezeki di bumi Tuhan ini cukup luas untuk dicari dan dimiliki. Hanya orang yang tidak menyedari yang akan menjadi rugi. Bangkitlah dari mimpi dan keluhan kerana miskin, kerana keluhan sahaja tidak akan dapat mengubah apa-apa melainkan hanya terus merana.
No Comment! Be the first one.