Bila kita berbicara tentang pemanis tiruan, perkataan ‘tiruan’ ini cukup skeptikal dan pada kebiasaannya dikaitkan dengan benda yang bercorak negatif. Pakaian, makanan, alat perhiasan dan segala benda yang berasaskan tiruan ini boleh memberikan satu sudut pandang yang tidak baik.
Jadi pada artikel kali ini, saya akan cuba kupas tentang hasil kajian semasa berkaitan pemanis tiruan ini dan isu-isu berbangkit berkaitan dengan kesihatan.
Namun perlu diingat, kupasan saya ini lebih kepada sebahagian sahaja keputusan yang sudah ada hasil dari kajian yang dilakukan.
Saya juga akan kupas mengikut format soalan agar mudah untuk dikaitkan dengan dapatan kajian.
1. Pemanis Tiruan Membunuh Bakteria Baik Usus?
Kalau sebut sahaja pasal virus, bakteria dan segala macam mikroorganisma, perkara pertama sekali terlintas dalam fikiran ialah ‘mereka’ semua itu adalah entiti yang jahat.
Sebenarnya badan kita sendiri mempunyai trillion jenis mikroorganisma atau mikrobiom yang berperanan dalam pelbagai fungsi seperti membantu proses penghadaman, sistem imunisasi, fungsi organ dan bermacam-macam lagi fungsi yang memberikan kebaikan terhadap kesihatan tubuh badan.
Dalam sistem penghadaman khususnya di bahagian usus, terdapat beberapa jenis bakteria seperti Bifidobacteria dan Lactobacilli yang berperanan membantu dalam memperbaiki ruang sel dinding di bahagian usus. Ini mengurangkan risiko individu mengalami sindrom kebocoran usus.
Selain daripada itu, beberapa kertas kajian juga telah membincangkan tentang peranan bakteria baik ini dalam proses metabolisma glukosa serta juga berperanan dalam pengawalan berat badan seseorang.
Pemanis Tiruan boleh menjadi agen pembunuh kepada bakteria baik?
Dalam satu kajian pada tahun 2017 oleh sekumpulan penyelidik daripada beberapa universiti di Amerika Syarikat, mereka menggunakan beberapa ekor tikus makmal (CD-1) berlainan jantina sebagai bahan uji kaji dan menggunakan pemanis tiruan jenis Acesulfame Kalium (potassium).
Matlamat utama kajian tersebut dijalankan adalah untuk menilai sama ada pemanis tiruan jenis Ace-K ini memberikan apa-apa kesan kepada bakteria di dalam usus tikus tersebut serta bagaimanakah kesannya terhadap perubahan komposisi tubuh tikus tersebut.
Mereka menggunakan kaedah penyusunan semula 16S rRNA dan Gas Chromatography-Mass Spectrometry (GC-MS) metabolomics untuk menghasilkan dapatan kajian.
Dapatan kajian tersebut mendapati, pengambilan pemanis tiruan jenis Ace-K dalam pola pemakanan tikus tersebut dalam jangka berterusan selama 4 minggu menyebabkan gangguan terhadap pertumbuhan bakteria di bahagian usus tikus makmal itu.
Baca Juga : Contoh Pemanis Tiruan Yang Anda Patut Tahu!
Gangguan ini menyebabkan perubahan dari segi sistem metabolisma dan penghasilan najis, serta perubahan komposisi tubuh badan bagi tikus jantan. Perubahan komposisi tubuh badan ini menyebabkan berat badan tikus jantan meningkat daripada sebelum ujian dilaksanakan.
Menariknya, perubahan komposisi badan ini hanya berlaku pada tikus jantan sahaja tetapi tidak pada tikus betina!
Namun mengambil satu kajian ini sahaja dan terus ‘menghukum’ bahawa pemanis tiruan ini membawa kerosakan pada sistem penghadaman kita adalah kurang cermat pada hemat saya. Hal ini demikian kerana, beberapa perkara perlu difikirkan sebelum membuat satu kesimpulan.
Antaranya ;
- Dos yang diberikan kepada tikus tersebut adalah dalam kadar yang tinggi dan berterusan dalam jangka masa 4 minggu. Pada pandangan saya, apa sahaja makanan yang berisiko akan berikan kesan mudarat kepada pengguna sekira diambil pada kuantiti dos yang tinggi dalam kadar waktu yang berterusan
- Kajian ini juga dilakukan melibatkan kumpulan tikus yang kecil. Pada pandangan saya, dengan menggunakan kumpulan tikus yang kecil tetapi berlainan jantina juga telah memberikan keputusan yang berbeza. Kajian lanjutan melibatkan saiz persampelan yang lebih besar juga boleh memberikan lebih ketepatan keputusan kajian. Tambahan pula, setiap individu pastinya mempunyai reaksi metabolisma terhadap pemanis tiruan yang berbeza antara satu sama lain bergantung kepada jenis pemakanan yang diambil, komposisi badan dan perkara lain yang berkaitan.
- Kajian ini hanya berfokus kepada satu jenis pemanis tiruan sahaja (Ace-K). Pada pandangan saya, kita tidak boleh untuk katakan semua pemanis tiruan memberikan kesan yang negatif kepada usus. Boleh jadi Ace-K memberikan kesan negatif kepada usus, tetapi tidak bagi jenis yang lain seperti Sucralose, Saccharine dan sebagainya. Kajian lanjutan masih perlu untuk dilakukan.
Bacaan lanjut : Klik Sini
Sampai ke hari ini, masih tidak ada kertas kajian yang dikeluarkan yang menyokong dapatan bahawa pemanis tiruan ini boleh membunuh bakteria baik yang terdapat dalam usus manusia. Jika benar sekalipun, kebarangkalian terjadi mungkin disebabkan pengambilan dos yang tinggi dalam jangka masa yang berterusan.
2. Pemanis Tiruan Rosakkan Buah Pinggang?
Kajian telah diadakan oleh penyelidik daripada jabatan perubatan di Universiti Massachussets ke atas sekumpulan wanita dewasa tentang perkaitan pengambilan minuman soda ‘diet’ yang mengandungi bahan pemanis tiruan ke atas penurunan fungsi dan kandungan albumin yang terdapat pada buah pinggang.
Apa itu Albumin?
Albumin ini ialah satu jenis protein yang terdapat dalam darah. Oleh kerana buah pinggang ini bertindak seperti penapis, bahan buangan yang tidak berguna dalam darah akan dilepaskan dalam bentuk air kencing.
Sepasang buah pinggang yang sihat dan berfungsi baik akan memastikan albumin ini tidak terlepas dalam kumpulan bahan buangan dalam peratusan yang tinggi.
Jika kandungan albumin yang tinggi terlepas dalam kumpulan bahan buangan, maka ianya menunjukkan buah pinggang anda tidak berfungsi dengan baik. Semakin rendah kandungan albumin dalam air kencing anda, semakin baiklah prestasi buah pinggang anda.
Apa Kaitan Dengan Buah Pinggang?
Dalam kajian yang telah saya sebutkan di atas, mereka membuat satu kesimpulan bahawa individu yang mengambil minuman berkarbonat ‘diet’ atau rendah kalori yang mengandungi kandungan pemanis tiruan lebih daripada 2 hidangan sehari berisiko tinggi terdedah kepada pengurangan fungsi buah pinggang atau istilah lain iaitu estimated glomerular filtration rate (eGFR)Â pada jangka masa panjang.
Namun, tiada sebarang perubahan pada struktur dan fungsi sel di dalam buah pinggang yang dapat didapati bagi individu yang mengambil pada kandungan yang rendah.
Hasil kajian lain pula mendapati, pengambilan pemanis tiruan jenis Saccharin telah menghasilkan peratusan buangan sodium (Na+) yang tinggi dalam air kencing tikus yang diuji selepas 30 hari pengambilan.
Selepas 60 hari pengambilan yang berterusan, peningkatan buangan peratusan kalium (K+) dan isipadu air kencing, serta pengurangan osmolaliti (kepekatan) pula dapat diperhatikan.
Memang sedikit kandungan Sodium (Na+) dan Kalium (K+) sepatutnya ada disingkirkan daripada tubuh badan melalui air kencing tetapi tidaklah secara berlebihan.
Jika ianya terjadi, ini menunjukkan fungsi buah pinggang mengalami kemerosotan prestasi dari segi fungsi tapisan dan serapan semula.
Menariknya, air kencing tikus ini kembali normal selepas pengkaji memberhentikan pengambilan pemanis tiruan serta merta dan hanya mengambil masa selama 24 jam sahaja untuk menyaksikan perubahan tersebut.
3. Pemanis Tiruan Bantu Untuk Kurus?
Seperti yang diketahui pada artikel yang sebelumnya, saya ada lampirkan bahawa pemanis tiruan yang banyak digunakan di pasaran ini tidak mengandungi kalori walaupun bersifat manis. Teori umum yang kita ketahui, manis adalah kerana kandungan gula dan gula mempunyai kalori.
Baca Juga : 6 Tips Rehabilitasi Untuk Kecederaan Sukan
Inilah keistimewaan khusus yang sering dijadikan sebagai ‘agen pelaris’ syarikat-syarikat pemakanan dan minuman di pasaran untuk meyakinkan pengguna bahawa produk mereka adalah sihat.
‘Gula’ yang manis tetapi sihat ini cukup menarik perhatian individu yang sedang dalam proses untuk menguruskan badan.
Adakah dakwaan ini tepat secara fisiologikal?
Tidak ada kajian semasa yang betul-betul jelas dengan keputusan mengatakan bahawa gantian pengambilan gula yang asal dengan pemanis tiruan benar-benar membantu secara khusus dalam mengurangkan berat badan seseorang secara fisiologikalnya.
Satu perkara yang perlu saya jelaskan di sini ialah pengambilan karbohidrat yang tinggi dalam pemakanan seharian memang sedikit sebanyak boleh menjadi penyumbang kepada pengumpulan lemak dan peningkatan berat badan. Gula juga termasuk dalam kategori karbohidrat.
Hal ini demikian kerana, karbohidrat yang diambil akan ditukarkan kepada bentuk glukosa dan bertindak sebagai bahan api utama untuk penjanaan tenaga dalam tubuh badan seseorang.
Glukosa yang tidak digunakan untuk penjanaan tenaga akan disimpan dalam bentuk glikogen ke dalam sel otot dan hati untuk kegunaan masa hadapan.
Apabila kantung simpanan telah melebihi had, lebihan glukosa yang tidak digunakan itulah yang akan disimpan dalam bentuk lemak.
Ada juga kajian yang diterbitkan dalam Journal Of Clinical Nutrition pada tahun 1995 menunjukkan karbohidrat (termasuk gula) bukanlah punca utama kepada peningkatan berat badan dan masalah obesiti.Â
Punca kepada peningkatan berat dan masalah obesiti yang utama adalah daripada tinggi pola pemakanan yang berlemak serta kehidupan yang pasif. Namun, ada juga lapangan kajian lain yang terbaru membawakan gula boleh berperanan sebagai punca utama kepada permasalahan obesiti.
Bagi saya, kedua nya relevan untuk diguna pakai. Hal ini demikian kerana, jika kita menyingkirkan gula daripada pola pemakanan harian sekalipun, risiko obesiti masih boleh berlaku jika aspek lain tidak di ambil berat. Begitu juga sekiranya pengambilan gula yang terlalu tinggi. Bukan sahaja obesiti, tetapi penyakit yang berkaitan lain juga boleh terjadi.
Perkaitan dengan pemanis tiruan?
Jika kita berhenti mengambil gula kerana kita gantikan dengan makanan yang mengandungi pemanis tiruan tidaklah memberikan kesan yang ketara terhadap perubahan berat badan kita jika aspek lain masih diabaikan.
Walaupun kita sudah buang gula dalam diet pemakanan dan gantikannya dengan pemanis tiruan yang tiada nilai kalori, namun pola pemakanan harian kita yang lain masih penuh dengan makanan yang berproses, berminyak dan mempunyai peratusan lemak trans yang tinggi, tidaklah akan memberikan sebarang perubahan yang positif.
Pokok pangkalnya, agen penurunan berat badan bukanlah buang pengambilan gula secara total dan menggantikannya dengan entiti lain semata-mata.
Ianya perlu dilihat secara rinci dari sudut aktiviti kehidupan seharian, keperluan metabolisma badan, senaman dan faktor lain yang berkaitan.
Saranan kurangkan gula bukanlah bermaksud buang. Diet tanpa sedikit kemanisan itu sudah tentulah tidak menarik dan kurang siuman!
Untuk pembacaan lanjut : Klik SiniÂ
4. Pemanis Tiruan Penyebab Kanser?
Pemanis Tiruan penyebab kanser merupakan antara perkara yang paling popular dibincangkan oleh seluruh saintis di seluruh dunia sejak tahun 1965 lagi.
Penemuan awal sememangnya menunjukkan ada perkaitan yang sangat kuat antara pemanis tiruan dan kanser sekitar tahun 70-an.
Antaranya ialah seperti kanser pundi kencing ke atas tikus dan monyet selepas konsumsi secara berterusan hasil percampuran dua jenis pemanis tiruan ; sodium saccharin dan sodium cyclamate (baca sini) dan (baca sini), kanser otak hasil konsumsi pemanis tiruan jenis aspartame (baca sini) serta penurunan fungsi testes pada tikus yang diberikan pemanis tiruan jenis cyclamate (baca sini) dan (baca sini).
Namun, semua hasil ujian yang telah saya sebutkan di atas mendapat kritikan hebat daripada pengkaji lain. Antaranya, mereka berpendapat bahawa ;
- sistem mekanisma khusus dalam tubuh tikus menjadikan kandungan sodium (Na+) yang tinggi pada pemanis tiruan itu sememangnya bertoksik dengan bahagian urothelieum pada sistem pundi kencing tikus tersebut. Perkara ini tidak terpakai kepada manusia.
- kajian yang dijalankan tersebut hanya melibatkan persampelan yang kecil dan tidak spesifik
- Kajian perkaitan antara aspartame dengan kanser telah ditentang keras oleh Olney et. al pada tahun 1996 kerana mereka beranggapan kajian tersebut tidak ada sandaran yang jelas antara dapatan dan kesimpulan yang dibuat (ecological fallacy). Kajian terbaru menunjukkan 10 jenis dakwaan yang mengatakan aspartame penyebab kanser adalah tidak tepat. (baca sini)
Pendek kata, perkaitan antara pemanis tiruan penyebab kanser masih memerlukan kajian lanjutan yang kukuh. Tambahan pula, kajian yang melibatkan perkaitan pemanis tiruan dan kanser ini banyak melibatkan haiwan sahaja.
Untuk manusia, terlampau sedikit perkaitan yang boleh dikaitkan.
Bacaan lanjutan : Klik Sini dan Klik Sini dan Klik Sini dan Klik Sini
Kesimpulan
Perkaitan antara penyakit dan juga pemanis tiruan sememangnya menjadi perbualan hangat di meja penyelidikan. Oleh kerana nilai ‘tiruan’ yang ada padanya menimbulkan persoalan di minda, adakah pemanis tiruan ini selamat untuk dikonsumsi oleh pengguna?
Pada pandangan saya, jika pemanis tiruan ini tidak selamat digunakan secara total dalam industri pemakanan dan minuman, sudah tentulah FDA tidak meluluskannya. Tetapi, pemanis tiruan telah diluluskan dan sudah pun digunakan secara meluas dalam pasaran.
Secara ringkas, berdasarkan hasil kajian semasa, tidak ada satu kajian pun yang menyaksikan perubahan sistem metabolisma, kerosakan organ dan masalah kesihatan yang terlalu ketara dialami jika diambil pada kandungan yang sangat sedikit mahupun tidak kerap.
Hasil penyakit dan tindak balas negatif ke atas sistem fisiologi tubuh badan yang telah saya lampirkan di atas adalah disebabkan pengambilan dalam kadar yang tinggi dan berterusan serta banyak yang melibatkan haiwan. Ya haiwan mempunyai sistem fisiologi yang hampir sama dengan manusia, tetapi tidak pada setiap keadaan.
Bagi saya, apa jenis makanan sekalipun sekiranya di ambil secara melampau dan berlebihan melebihi keperluan tubuh tetap akan memberikan mudarat kepada kesihatan diri.
Contoh mudah yang saya boleh beri ialah sayur-sayuran seperti bayam.
Bayam terkenal sebagai sayur-sayuran yang kaya dengan nutrisi yang baik untuk kesihatan, tetapi sekiranya diambil secara berlebihan juga boleh menyumbang kepada kandungan oxalate yang berlebihan yang membawa kepada mudarat dan ketidak selesaan seperti muntah-muntah, keruh pada air kencing dan kembung perut.
Sama juga kes seperti susu. Susu mengandungi kandungan kalsium yang baik untuk pertumbuhan gigi dan tulang tetapi boleh menyumbang kepada hipercalcaemia sekiranya diambil secara berlebihan.
Pemanis tiruan ini selamat jika di ambil pada kandungan yang rendah kerana sifat pemanis tiruan yang tidak ada nilai nutrisi ini tidak diserap dalam sistem metabolisma tubuh badan.
Hasil akhirnya akan dibuang daripada tubuh badan melalui pembuangan air kencing.
Akhir kata dari saya, makanlah apa sahaja asalkan mengikut pada had mengikut keperluan tubuh anda. Tidak salah untuk melakukan ‘cheat day‘ sekali-sekala. Jika salah, ianya jelas melanggar fitrah manusia. Makan itu nikmat, tetapi berpadalah!
Â
[…] Baca Juga : ‘Trick’ Pemanis Tiruan Yang Digunakan Di PasaranBaca Juga : Adakah Pemanis Tiruan Berbahaya Untuk Kesihatan? […]