Menjadi bijak sememangnya menjadi impian setiap orang yang bergelar insan. Untuk sebahagian masyarakat Melayu, berbotol-botol kismis minda telah dibacakan ustaz alunan ayat suci al-Quran bertujuan khusus untuk memberikan kecerahan minda kepada si pemakannya. Begitu juga air jampi yang diritualkan dengan tertib tertentu bertujuan untuk memupuk kebijakan untuk tumbuh mekar di dalam pemikiran si peminumnya. Pokok pangkalnya, semua orang memang mahu menjadi bijak. Namun,persoalannya di sini, bagaimana anda boleh menjadi bijak?
Cuba lihat kebanyakan masalah yang kita hadapi sepanjang kehidupan ini, majoritinya diselesaikan oleh orang yang bijak.
Bagaimana kegelapan alam berjaya diterangkan Sir Thomas Elva Edison, si pencipta mentol, setelah menemukan lebih kurang 1000 kali kegagalan.
Tidak lupa juga kepada Alexander Graham Bell, yang mengilhamkan idea penciptaan telefon untuk tujuan komunikasi. Semua ini datangnya daripada orang yang bijak.
Bijak juga bukan sahaja digunakan untuk kebaikan malahan juga untuk kes jenayah.
Masih ingat lagi dengan kisah Ketua Eksekutif Bank, Aman Syah, si pencuri 1 sen dari setiap akaun bank individu di Malaysia satu ketika dahulu?
Beliau berjaya menukarkan nilai ringgit 1 sen ke nilai jutaan ringgit dengan begitu licik sehingga berjaya menjadi kaya raya.
Begitu juga si Frank Abagnale watak yang dimainkan oleh Leonardo De Caprio dalam filem Catch Me If You Can, menggunakan kepintarannya untuk mencetak cheque palsu yang seterusnya mengeluarkan duit asli. Lakonan ini juga di adaptasi daripada cerita sebenar.

Dengan menjadi bijak, anda berupaya untuk memanipulasi sesuatu perkara (jika anda seorang yang jahat) serta menyelesaikan kebanyakan masalah yang dihadapi dalam kehidupan (jika anda seorang yang baik). Bijak itu sebenarnya terlalu subjektif dan abstrak untuk dihuraikan dari segi apa!
Bijak itu boleh dihasilkan!
Kajian daripada neurosaintis, Suzana Herculano-Houzel mendapati terdapat 86 billion sel neuron terkandung dalam otak seorang manusia. Neuron ini berfungsi dalam menghantar maklumat yang berkaitan ke sistem saraf di seluruh tubuh badan menjurus kepada sesuatu perlakuan atau tindakan individu. Namun, sel neuron ini boleh berkurang jika ianya tidak digunakan menjelang peningkatan usia.
Menurut Sandrine Thuret yang juga seorang neurosaintis mengatakan sebenarnya kita boleh sahaja menggandakan serta menggalakkan percambahan sel neuron otak melalui proses yang dipanggil sebagai neurogenesis.

Neurogenesis ini secara kebiasaannya akan berlaku di bahagian hippocampus, satu bahagian kecil di dalam otak kita. Kita boleh galakkan proses Neurogenesis ini untuk berlaku melalui beberapa perlakuan yang akan saya bincangkan di dalam bahagian seterusnya dalam artikel ini.
Mudahnya, semakin giat proses neurogenesis berlaku, semakin berkembang sel neuron dalam otak seterusnya akan membuka potensi untuk menjadikan kita insan yang lebih bijak! Tapi bagaimana mahu menjadi bijak?
Banyakkan aktiviti membaca
Membaca jarang sekali dijadikan sebagai pilihan marhaen untuk mengisi masa lapang atau hobi. Masa lapang kerap dihabiskan dengan melakukan aktiviti yang bagi mereka lebih menyenangkan seperti melepak, bermain permainan video, melayari media sosial dan sebagainya.
Bagi kebanyakan orang, membaca seolah-olah membuatkan fikiran mereka semakin kusut dan tidak menenangkan.
Saya berpendapat mereka merasakan membaca ini suatu perlakuan yang membosankan kerana mereka masih belum menjumpai pilihan buku yang bertepatan dengan minat dan selera mereka.
Sebenarnya dengan membaca pilihan buku yang tepat berdasarkan minat pembaca itu sendiri dapat menenangkan fikiran serta kadangkala boleh mengkhayalkan!
Baca Juga : 5 Asas Common Sense Kehidupan Yang Perlu Tahu!
Membaca dapat mengubah anda menjadi lebih peka!
Kajian telah dilakukan oleh sekumpulan penyelidik daripada Universiti Emory di Atlanta, Georgia mengenal pasti tahap rangsangan sel neuron otak menggunakan Pengimejan Magnet Resonans (MRI).
Dalam experimen yang berlangsung selama 19 hari itu, subjek dikehendaki untuk membaca sebuah novel fiksyen yang berjudul ‘Pompey’.
Hasil kajian tersebut mendapati peningkatan yang agak signifikan terhadap sel neuron otak saban hari terutamanya di bahagian somatosensory cortex , terletak di bahagian parietal lobe otak.
Pengaktifan sel neuron di somatosensory cortex ini secara tak langsung memberikan kebaikan dari segi somatic sensation otak iaitu deria rasa dan tindak balas tubuh menjadikan kita seorang yang lebih peka!
P/S : Dengan membaca, kita mungkin akan lebih peka dengan ‘hint’ daripada girlfriend yang minta kahwin barangkali. Haha
Tambahan pula, dengan membaca dapat mengaktifkan otak kita untuk berfikir tentang apa yang cuba disampaikan oleh penulis.
Berfikir dapat merancakkan proses neurogenesis untuk berlaku seterusnya dapat memantapkan keupayaan kognitif seseorang individu di mana akan berkurang menjelang peningkatan usia.
“Reading is like thinking, like praying, like talking to a friend, like expressing your ideas, like listening to other people’s ideas, like listening to music, like looking at the view, like taking a walk on the beach.”
Roberto Bolaño
Aktifkan sel otak anda dengan bersenam
Bersenam bukan sahaja menjadikan badan kita sihat tetapi boleh juga menjadikan kita lebih bijak! Tetapi apa perkaitan senaman dengan bagaimana mahu menjadi bijak?
Dengan melakukan senaman atau aktiviti fizikal yang aktif sebenarnya menggalakkan penghasilan Brain-derived neurotrophic factor (BDNF) sejenis protein yang membantu dalam perkembangan, pembahagian, pematangan serta pertahanan kepada sel neuron di dalam otak kita!
Apa pulak BDNF bro?
Dalam bahasa yang mudah, BDNF ini sebenarnya bertindak seperti baja kepada otak kita.
Ianya bertindak sebagai pemangkin (catalyst) kepada proses bio-kimia yang berlaku dalam otak dan seterusnya menggalakkan lagi pertumbuhan, percambahan serta pertahanan kepada sel neuron dalam otak kita!
Kesan positif daripada proses ini dapat memberikan kelebihan dari segi :
- kefahaman tentang sesuatu yang kompleks
- meningkatkan kekuatan ingatan
- memperbaiki cara kita berfikir
serta lain-lain fungsi yang berkaitan dengan otak.
BDNF ini bukan sahaja berguna untuk kawasan otak sahaja malahan juga berguna dalam sistem saraf, buah pinggang, retina, dan juga fungsi otot.
Kajian daripada sekumpulan penyelidik program neurosains di Universiti Weber State, Amerika Syarikat mendapati,semakin tinggi intensiti senaman dilakukan oleh seseorang individu, semakin tinggilah penghasilan BDNF dalam sistem neurologi.
Malah, hasil penyelidikan yang lain juga menunjukkan peratusan kandungan BDNF dalam otak pesakit Alzheimer semakin menunjukkan peningkatan yang positif hasil daripada lakuan senaman yang telah diaplikasikan kepada mereka!
Apa tunggu lagi?
Pakai pakaian senam anda, dan lakukan aktiviti senaman sekarang!
Baca juga : 5 Langkah Merancang Kewangan Bijak
Masukkan nilai positif dalam diri
Tahukah anda, positiviti dalam diri itu boleh direka melalui permainan minda yang positif?
Pada point yang pertama dalam artikel ini, saya ada cadangkan untuk membaca. Tetapi, katakanlah anda tidak suka membaca. Anda lebih cenderung kepada sesuatu yang bersifat visual dan auditori.
Tenang, anda masih boleh mendapatkan manfaat minda yang positif seperti orang yang membaca.
Jana minda positif bersama TedTalk
TedTalk merupakan salah satu medium interaktif yang mengumpulkan tokoh, ilmuan dan pakar motivasi yang terkemuka daripada seluruh dunia.
Tujuannya untuk pengucapan awam yang kebiasaannya dalam Bahasa Inggeris tentang pelbagai isu baik dalam bidang politik, sukan, sains, teknologi, inspirasi mahu pun dalam bidang pendidikan.
Kadangkala bukan sahaja isu ilmiah, tetapi ada juga isu yang berkaitan dengan pengalaman peribadi speaker sendiri dalam menghadapi ranjau kehidupan.
Lebih menarik, perbahasan yang dikupas tidaklah seperti yang berlaku dalam dewan kuliah universiti tetapi lebih bercorak santai, padat, humoris dan tidak membosankan.
Semua orang suka servis yang percuma dan TedTalk menyediakannya!
Anda buka sahaja di YouTube atau muat turun aplikasinya di laman PlayStore, tersedia ribuan video yang boleh mengubah hidup anda.
Cuba cipta perhubungan dengan orang yang positif
Kalau ikut prinsip ke-magnetan, caj positif tidak boleh tertarik dengan caj positif. Caj positif hanya akan tertarik dengan caj yang berlawanan dengannya sahaja.
Namun berbeza pula dengan prinsip naluri kemanusiaan. Ia boleh bergabung dengan siapa sahaja mengikut kehendak sendiri tidak seperti prinsip ke-magnetan.
Jika anda sudah pun menjadi seorang yang positif, mantapkan lagi nilai positiviti dalam diri dengan memperbanyakkan pergaulan dengan orang yang lebih positif daripada anda.
Jangan risau, prinsip kemanusiaan tidak akan tertolak seperti yang berlaku dalam prinsip ke-magnetan.
Bagaimana kita nak tahu positiviti seseorang itu sesuatu yang natural bukannya dibuat-buat?
Sukar nak nilai personaliti seseorang melalui laman sosial atau dengar mulut orang sahaja. Sebab itu kita kena bergaul dengan seberapa banyak orang yang boleh untuk tahu dengan lebih rapat bagaimana perilaku dia yang sebenar.
Kenali keperibadian mereka secara satu persatu. Selepas kita dah betul-betul memahami perilaku mereka secara lebih dekat, barulah kita buat keputusan sama ada untuk terus rapat ataupun sekadar perhubungan yang biasa-biasa sahaja.
Gunakan konsep psikologi tentang penggunaan warna merah, biru, kuning dan juga hijau untuk mengenali peribadi seseorang dengan lebih menarik.
Boleh baca buku penulisan Thomas Erikson, Surrounded by Idiot untuk lebih faham dengan lebih terperinci penggunaan 4 warna ini dalam mengenali peribadi seseorang.
Bila keadaan hidup kita dikelilingi orang yang positif, sudah pasti kita juga akan terikut-ikut dengan keadaan sekeliling.
Melalui pergaulan tersebut, cuba gali dan serap bagaimana keperibadian dan cara mereka berfikir menghadapi masalah dan cabaran dalam kehidupan.
Bagaimana mereka boleh jadi begitu produktif menyelesaikan banyak urusan dalam kehidupan dengan begitu efisyen sedangkan peruntukan masa yang sama diagihkan dengan begitu adil oleh Tuhan yang menciptakan masa.
Semua ini boleh dihasilkan melalui naluri kepintaran. Berita baiknya, menjadi pintar dan bijak itu boleh dihasilkan!
Ilmu itu tidak semestinya datang dalam bentuk yang bertulis, formal dan membosankan. Boleh jadi dalam bentuk perbuatan, percakapan, pengalaman serta peradaban.
Keluar dari zon selesa
Zon selesa ini bukanlah bermakna anda perlu keluar daripada rumah besar yang dimiliki sekarang lalu tidur dalam khemah dan tinggal di dalam selamanya.
Sebaliknya, zon selesa ini ialah kita mudah berpuas hati.
Saya tak kata semua, tapi berdasarkan orang di sekeliling saya, masyarakat Melayu lah paling ramai menghidapi sindrom ini tanpa saya nafikan ada sudut lain yang masyarakat Melayu bagus.
Di samping itu, saya pun seorang Melayu (cuma muka ada iras Brad Pitt sikit je haha).
Keluar dari zon selesa yang dimaksudkan ini lebih menjurus kepada penambahbaikan terhadap tindakan yang anda akan lakukan di dalam kehidupan.
Anda tidak mengubahnya secara terus tetapi anda memperbaikinya supaya dapat cipta perkara lain yang jauh lebih baik daripada apa yang ada sekarang.
Saya ini seorang yang suka bermain dengan analogi. Jadi saya nak beri analogi zon selesa yang saya maksudkan.
Katakan anda sebagai seorang mahasiswa universiti awam bercita-cita untuk jadi seorang pereka fesyen terkenal. Sekarang, anda telah pun berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah dan sudahpun berada pada landasan yang betul ke arah mencapai cita-cita anda.
Semasa dalam pengajian, anda juga ada membuat permohonan sebagai pegawai badan kerajaan di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) kerana termakan desakan makcik-makcik di kampung berkaitan dengan masalah pengangguran.
Tambahan racun dilakukan oleh mereka yang mengatakan kerja kerajaan jaminan paling selamat, pencen dan senang naik pangkat menyebabkan anda makin binggung.
Ditakdirkan, rezeki menyebelahi anda untuk kerja kerajaan, anda pun lapor diri. Setelah 5 tahun bekerja, anda sudah mula tertekan dengan budaya kerja dan niche pekerjaan yang langsung anda tidak minati. Waktu 9 jam bekerja untuk setiap hari bagaikan setahun lamanya disebabkan anda tiada passion tentangnya.
Walaupun di sudut hati ingin menyambung cita-cita yang tertanam sejak kecil, tapi niat itu dibatalkan kerana bimbang isu jaminan pencen, pekerjaan, loan, dan lain-lain.
Pertama sekali, apa yang cuba saya sampaikan dalam analogi tersebut ialah kadangkala kita suka bantutkan perancangan perjalanan hidup yang telah kita rancang sejak dahulu lagi apabila kita menemui keselesaan yang bukan pada tempatnya.
Kalau ikut potensi diri, sebenarnya kita mampu pergi lebih jauh daripada apa yang kita ada sekarang. Namun, sikap suka berada dalam zon selesa ini menjadi penghalang kepada kita untuk terbang dengan lebih tinggi.
Saya tidak katakan orang yang bekerja dalam sektor kerajaan adalah orang yang gagal, bahkan kerja kerajaan memberikan banyak kelebihan dan banyak melahirkan orang yang hebat.
Cuma, kita suka sekat potensi diri kita disebabkan terkabur dengan konsep jaminan.
Kalau daripada kecil memang kita dah tetapkan yang kita memang nak kerja sebagai cikgu, polis, pegawai kastam dan sebagainya yang sememangnya dalam sektor kerajaan.
Itu tak apalah sebab dari awal kita memang dah ada sasaran dan mencapainya merupakan satu kejayaan.
Namun pada sasaran impian dalam bidang selain sektor kerajaan, sebagai contoh pereka fesyen terkenal, membantutkan usaha ke arah merealisasikan impian itu disebabkan wujud stigma tidak menjamin masa depan, tiada pencen dan tiada gaji tetap adalah cara fikir yang begitu mengecewakan.
Sebab itu saya katakan dalam bab ini, kita perlu menjadi bijak supaya kita tidak mudah terpengaruh dengan orang lain yang kita sangkakan sebagai pemberi nasihat.
Tetapi, hakikatnya pembunuh potensi diri kita. Tiada siapa lagi yang betul-betul faham matlamat hidup kita melainkan diri kita sendiri.
Latih diri supaya berani mengambil risiko dan cuba keluar dari zon selesa.
Percayalah tindakan keluar dari keselesaan yang ada akan mematang dan meluaskan lagi pemikiran kita. Reaksi semula jadi kita ke arah perubahan arus kehidupan juga akan semakin cekap.
Kesimpulan
Kalau perasan dalam penulisan saya di atas, saya bahagikan bagaimana kita boleh menjadi bijak kepada dua bahagian iaitu dari sudut sains dan psikologi.
Saya mulakan dengan sains dahulu kerana melalui sains lah kita dapat mempengaruhi psikologi menjurus kepada tingkah laku.
Secara ringkas, kita boleh sahaja menjadi seorang yang bijak walaupun tidak dilahirkan sedemikian.
Caranya ialah dengan cuba menggunakan sains untuk mengubah struktur dan fungsi otak kita.
Membaca buku menghasilkan sel neuron otak yang baru, manakala dengan bersenam menghasilkan ‘baja’ dan racun kepada anasir negatif yang cuba merosakkan sel neuron yang sedia ada mahupun yang baru dihasilkan tadi.
Lalu, kita gunakan perlakuan tingkah laku dan ilmu psikologi pula untuk memaksimumkan penggunaan sel neuron yang kita hasilkan tadi melalui nilai-nilai positif dan latihan diri untuk mengutip lebih banyak ilmu secara praktikalnya melalui pengamalan keluar dari zon yang selesa.
Sememangnya bukanlah itu sahaja cara bagaimana kita hendak mengaktifkan minda.
Banyak lagi tetapi perkara yang saya senaraikan itulah antaranya. Cubalah perhati dan amalkan dalam tindak tanduk menghadapi kehidupan, mudah-mudahan kita juga boleh berpeluang menjadi orang yang bijak!
Semoga artikel ini memberikan manfaat buat yang membacanya. Ingat menjadi bijak itu bukan anugerah semata tetapi ianya adalah satu pilihan.
No Comment! Be the first one.