Menelusuri era media sosial yang serba rancak pada hari ini, kita telah melihat lambakan individu berpengaruh (influencer) berkongsi tips-tips senaman dan cara kempiskan perut dan six pack. Tidak cukup dengan perkongsian di media sosial, carian di laman Google ; ‘Cara kempiskan perut dalam masa 7 hari’ pun tidak kurang hebatnya. Pokok pangkalnya, orang kita memang obses untuk mengempiskan perut dengan serius berdasarkan ‘demand’ penghasilan video serta carian kata kunci di internet.
Sejak bertahun-tahun lamanya masyarakat kita percaya cara untuk kempiskan perut dan mendapatkan bentuk sixpack ialah dengan melakukan senaman perut yang spesifik sahaja diiringi dengan jumlah set dan repetisi tertentu sehingga boleh mencecah ribuan kali dalam seminggu.
Namun, tidak kurang juga bilangannya yang mengalami kegagalan dan kesakitan. Sudahnya, give-up dan mula kembali kepada pola kehidupan lama yang pasif.
Semua Orang Mempunyai Sixpack!
Pernah tak anda terfikir mengapa individu A mempunyai sixpack, individu B mempunyai sixpack tetapi seakan-akan ‘tenggelam-timbul’, manakala individu C tidak mempunyai sixpack langsung! Buat pengetahuan anda, setiap individu sama ada pihak lelaki atau pun perempuan mempunyai sixpack yang tersendiri. Cuma bezanya adalah jelas atau tidak sahaja.
Mengapa ini terjadi?
Jawapan mudahnya ialah kerana kadar peratusan lemak di bawah lapisan kulit perut seseorang individu lah yang membezakan bagaimana rupa sixpack individu A, B dan C. Makin sedikit kadar peratusan lemak yang berkumpul di bawah lapisan kulit perut anda, semakin jelas lah sixpack anda boleh kelihatan!
Baca Juga : 4 Nutrisi Terbaik Untuk Kecederaan Tendon & Ligamen
Cara Kempiskan Perut Dengan Buat Sit-up?
Senaman bangkit tubi atau lebih sinonim dengan ‘sit-up’ sering menjadi panduan majoriti masyarakat kita untuk menghasilkan perut yang kempis dan sixpack.
Ditambah pula dengan perkongsian video-video viral golongan yang berpengaruh (influencer) di TikTok, Instagram dan Facebook memberikan tips-tips senaman perut yang penuh viarasi khusus untuk hasil perut yang kempis dan sixpack meningkatkan paras dopamine.
Bolehkah Kita Hilangkan Lemak Ikut Bahagian Badan Tertentu?
Hakikatnya, lemak di badan kita tidak boleh disingkirkan mengikut bahagian-bahagian yang tertentu.
Contohnya ; ingin menghilangkan lemak di bahagian perut, dada, lengan atau peha sahaja.
Hal ini demikian kerana, fisiologi penyingkiran lemak yang terlaksana pada tubuh badan kita akan bertindak secara menyeluruh tidak terhad hanya pada bahagian-bahagian yang tertentu sahaja.
Bahkan ada juga sebahagian kelompok yang saya jumpa mempercayai bahawa lemak boleh ditukarkan menjadi otot. Ini adalah satu kepercayaan yang tidak tepat.
Lemak dan juga otot itu juga datangnya daripada bentuk kejadian yang berbeza. Otot terdiri daripada sekumpulan fiber otot (myofibril) manakala lemak terdiri daripada gliserol dan asid lemak. Keduanya juga mempunyai rupa bentuk dan fungsi yang berbeza.
Tubuh Badan manusia = Seketul Enjin Yang Kompleks
Seketul enjin yang boleh berfungsi dengan baik dapat memastikan sesebuah kereta untuk bergerak laju di atas permukaan jalanraya.
Namun begitu, sekiranya seketul enjin itu tidak berjaya untuk dihidupkan, adakah bermakna enjin itu perlu dileraikan kerana enjin itu sememangnya bermasalah? Ya lah, dah enjin tak boleh hidup mestilah masalahnya pada enjin bukan? Jawapannya ; tidak semestinya.
Enjin kereta yang tidak berjaya dihidupkan itu tidak lah semestinya berpunca daripada masalah enjin itu sendiri. Mungkin enjin tersebut tidak dapat dihidupkan berpunca daripada komponen kecil lain yang berada di luar bahagian enjin tetapi bersangkut paut dalam memastikan seketul enjin itu dapat dihidupkan.
Boleh jadi starter atau alternator yang sudah rosak. Atau pun wayar di rumah kunci yang terputus juga boleh menyumbang kepada faktor sesuatu enjin itu gagal untuk dihidupkan.
Jadi, tugas mekanik untuk menganalisis apakah punca enjin kereta tadi tidak boleh dihidupkan. Disini kita tahu untuk memastikan komponen A kembali berfungsi, tidak berpada dengan hanya menumpukan pada komponen A sahaja. Kadangkala perlu untuk melibatkan pembaikan pada komponen B dan C untuk memastikan komponen A kembali berfungsi.
Fungsi tubuh badan manusia juga bertindak begitu. Saya akan beri beberapa contoh untuk anda mudah faham apa yang sedang dibincangkan.
Seorang atlet jarak jauh menyasarkan masa larian untuk jarak 42 km ialah : 2 Jam 30 minit. Jika individu tersebut mahu mencapai sasarannya tersebut, tidak berpada dalam program latihannya hanya melibatkan komponen menguatkan stamina (daya tahan kardiovaskular) sahaja.
Sebaliknya, individu tersebut perlu juga untuk pergi ke gymnasium (contoh) untuk melatih aspek kecergasan fizikal yang lain seperti komponen daya tahan otot, kekuatan otot, keseimbangan badan dan koordinasi tempo larian.
Walaupun pada kaca mata kita beranggapan keupayaan seseorang untuk berlari pada jarak yang jauh itu sekadar melibatkan kekuatan stamina semata-mata.
Dalam konteks perbincangan kita ini pula, mengetahui bagaimanakah cara untuk kempiskan perut yang buncit tadi tidak berpada hanya dengan melakukan senaman yang melibatkan perut sahaja.
Sebaliknya, pelbagai aspek dan otot lain juga perlulah disentuh bagi memastikan matlamat untuk kempiskan perut dan memiliki susuk tubuh badan maskulin itu berjaya dicapai.
Bagaimana cara kempiskan perut dengan betul?
Seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, untuk kempiskan perut buncit anda perlu mengurangkan peratusan lemak di seluruh tubuh badan. Untuk mengurangkan peratusan lemak dalam badan, cara yang paling berkesan ialah dengan memastikan anda mengaplikasikan prinsip kalori defisit dalam amalan pemakanan harian.
Kalori defisit boleh berlaku apabila kadar pembakaran tenaga (kcal) melalui aktiviti harian/senaman melebihi daripada apa yang anda makan dan minum pada hari itu. Namun, suka untuk saya ingatkan juga bahawa kurang pengambilan kalori tidaklah bermakna anda perlu sekat dan kurang makan dan minum semata-mata. Tetapi, ianya lebih merujuk kepada pengambilan makanan dan minuman yang lebih rendah kalori. Cara masakan dan bahan ramuan sudah tentu mempunyai peranan dalam menentukan tinggi atau rendah kalori sesuatu makanan dan minuman.
Dalam konteks senaman, anda boleh melakukan apa-apa sahaja senaman yang melibatkan pergerakan keseluruhan tubuh badan, tidak terhad hanya pada bahagian perut sahaja. Anda boleh pergi ke gymnasium untuk buat latihan bebanan, berjogging, berbasikal, berjalan pantas, naik turun tangga dan apa sahaja aktiviti yang anda suka untuk melakukannya dalam jangka masa yang lebih lama.
Selain itu, jika anda pergi ke gymnasium, saya amat galakkan anda untuk melakukan senaman jenis kompaun diiringi dengan senaman jenis isolasi di hujung sesi.
” Namun, suka untuk saya ingatkan juga bahawa kurang pengambilan kalori tidaklah bermakna anda perlu sekat dan kurang makan dan minum semata-mata. Tetapi, ianya lebih merujuk kepada pengambilan makanan dan minuman yang lebih rendah kalori. Cara masakan dan bahan ramuan sudah tentu mempunyai peranan dalam menentukan tinggi atau rendah kalori sesuatu makanan dan minuman.”
Senaman kompaun ini bukan sahaja membakar kalori dengan lebih efektif dan berkesan malahan juga memberikan viarasi dalam program senaman anda menjadi lebih menarik dan tidak membosankan.
Apa itu senaman kompaun?
Senaman kompaun ini merupakan jenis senaman yang melibatkan penglibatan lebih daripada satu jenis otot dalam satu senaman. Contohnya senaman squat. Senaman ini bukan sahaja melibatkan otot quadriceps (peha depan) malahan juga melibatkan otot di bahagian lain seperti teras badan (core), hamstring (peha belakang), glutes (punggung) dan juga gastrocnemius (betis).
Antara senaman kompaun yang mudah diaplikasikan ialah :
- Lunges
- Plank
- Squat
- Pull-up
- Chin-Up
- Deadlift
- Push-up
dan sebagainya.
Kalau anda perasan, semua jenis senaman berbentuk kompaun yang saya senaraikan di atas tidak hanya tertumpu pada senaman otot perut sahaja bukan?
Baca Juga : 6 Tips Rehabilitasi Untuk Kecederaan Sukan
Apa itu senaman Isolasi?
Senaman isolasi ini merupakan senaman yang hanya melibatkan satu jenis kumpulan otot sahaja. Contohnya senaman bicep curl. Melalui perlakuan senaman ini, otot yang terlibat dalam perlakuan ini hanyalah otot bicep sahaja tanpa melibatkan otot-otot yang lain. Contoh senaman isolasi ini adalah :
- Dumbell lateral raise
- Sit-ups
- Crunches
- Tricep dip
dan sebagainya.
Dalam merangka program latihan, mungkin pada hari ini anda boleh melakukan senaman jenis kompaun lalu diakhiri dengan beberapa jenis senaman bersifat isolasi, hari berikutnya lebih kepada senaman bercorak kardio. Terpulang kepada kreativiti anda untuk menjadikan sesi latihan lebih menarik dan tidak membosankan.
Pokok pangkalnya, viarasi itu merupakan pendekatan yang paling terbaik.
Kesimpulan
Untuk mencapai matlamat sixpack atau perut kempis itu sebenarnya merangkumi pelbagai aspek penjagaan tidak hanya terhad kepada sesuatu senaman yang khusus semata-mata.
Saya tidaklah mengatakan senaman perut seperti sit-up, crunches, dll yang sering dilakukan itu sia-sia. Jangan salah anggap.
Malah, saya boleh katakan senaman perut juga mempunyai kelebihannya yang tersendiri dalam memberikan kekuatan pada teras badan anda. Keyword yang hendak saya tekankan di sini sekiranya anda inginkan sixpack dan perut yang kempis adalah ;
“Anda perlu menviarasikan jenis senaman anda melibatkan keseluruhan tubuh badan, lain-lain komponen otot dan kecergasan berbanding hanya menumpukan pada satu-satu bahagian sahaja.”
Dalam kes ini jika anda mahu kan sixpack dan perut kempis, tidak berpada dengan hanya melakukan senaman perut sahaja. Bahkan saya boleh katakan, sekiranya anda tidak melakukan senaman perut juga anda masih boleh menghasilkan sixpack dan perut yang kempis jika anda disiplin menjaga program senaman dan pemakanan dengan betul.
Jika anda hanya menumpukan satu bahagian senaman sahaja, janganlah hairan sekiranya anda gagal mencapai matlamat sixpack dan perut kempis walaupun telah melakukan ribuan kali set dan repetisi setiap hari!
Baca Juga : ‘Trick’ Pemanis Tiruan Yang Digunakan Di Pasaran
Baca Juga : Adakah Pemanis Tiruan Berbahaya Untuk Kesihatan?
Hal ini demikian kerana, penampakan sixpack dan perut yang kempis itu bukanlah pada kekuatan teras badan semata-mata, tetapi perlu juga pengurangan peratusan kandungan lemak di dalam badan.
Dan perlu diingat bahawa tidak mustahil seseorang yang tidak mempunyai sixpack boleh mempunyai kekuatan teras badan yang lebih baik daripada individu yang mempunyai sixpack!
“Pola kehidupan seharian juga perlu diambil kira. Adakah anda seorang perokok mahu pun sering mengambil minuman yang beralkohol. Begitu juga dengan kualiti dan jangka masa tidur, masa rehat dan pemakanan turut memainkan peranan terhadap mood, tingkah laku, hormon dan sebagainya.”
Penulisan ini juga saya hanya fokuskan untuk membetulkan konsep pemahaman dalam pengaplikasian senaman sahaja dan bukannya bertujuan untuk penurunan berat badan.
Perbahasan berkaitan penurunan berat badan pastinya lebih luas lagi menyentuh pengaruh aspek metabolisma seperti pemakanan, hormon dan sebagainya. Mungkin jika ada masa, saya boleh kongsikan pada penulisan yang lain.
Semoga kita sentiasa dapat mengaplikasi ilmu dalam mencapai gaya hidup yang sihat!
No Comment! Be the first one.