Dengan kepesatan teknologi media yang semakin meluas pada hari ini, informasi tentang kesihatan semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat awam termasuklah dari aspek penjagaan makanan. Mana tidaknya, maklumat berkaitan penjagaan makanan termasuklah dari segi kadar pengambilan nutrisi dan kadar kalori dalam pemakanan harian amat mudah didapati di internet. Tren kesedaran ini menarik perhatian industri perusahaan untuk menambah baik dalam inovasi penghasilan pemanis tiruan.
Kemanisan dan Kesihatan
Di sebalik sifat kemanisan yang dimiliki, kita mungkin terlupa tentang satu perkara ; kemanisan yang berlebihan boleh membawa kepada malapetaka yang besar.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati, seorang daripada lima individu dewasa atau kira-kira 3.9 juta orang berumur 18 tahun ke atas di Malaysia menghidapi penyakit kencing manis.
Penyakit kencing manis ini terjadi kerana kegagalan fungsi sistem tubuh badan untuk mengawal paras gula dalam darah disebabkan kekurangan penghasilan dan pengesanan hormon insulin.
Terdapat 2 jenis penyakit kencing manis iaitu Jenis I dan II. Keduanya serius dan memerlukan rawatan yang rapi.
Penyakit ini boleh berpunca daripada :
- pengambilan makanan yang tidak berkhasiat
- amalan gaya hidup yang tidak sihat
Hakikatnya, penyakit ini juga tidak mengira umur dan jantina. Sesiapa jua berisiko untuk terkena bagi sesiapa yang tidak begitu menitik beratkan penjagaan kesihatan bukan sahaja dari aspek pemakanan malahan juga dari aspek gaya kehidupan seharian.
Baca Juga : 4 Nutrisi Terbaik Untuk Kecederaan Tendon Dan Ligamen
Â
Pemanis Tiruan Alternatif Yang Lebih ‘Sihat’
Seiring dengan kemajuan industri makanan dan minuman, para saintis dan cendekiawan berusaha mewujudkan satu formula baru bagi menghasilkan gula yang bersifat ‘sihat’ tanpa menghilangkan sifat dan rasa asalnya.
Sebab itulah variasi jenis gula tiruan dicipta dan dihasilkan bagi memenuhi persaingan pasaran.
Syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung dalam industri makanan dan minuman cuba mengimplementasikan formulasasi gula tiruan ini ke dalam produk yang dihasilkan agar dapat memberikan pilihan yang lebih ‘sihat’ kepada pelanggan.
Slogan ‘tanpa kalori’ atau ‘sugar free‘ akan terpampang pada reka bentuk pembungkus makanan, botol atau tin minuman yang dihasilkan bagi menarik minat pelanggan.
Apakah Jenis Pemanis Tiruan Yang Berjaya Dihasilkan?
Terdapat banyak jenis gula tiruan yang telah pun diguna secara meluas di pasaran industri pemakanan dan minuman kerana sifatnya yang tidak mempunyai kalori mampu melariskan produk jualan.
Berikut merupakan contoh yang biasa digunakan dalam industri :
1# Sucralose
Sucralose merupakan contoh pemanis tiruan dalam kumpulan non-nutritive iaitu sangat minima kandungan kalori atau tiada langsung.Â
Sucralose ini terhasil daripada proses chlorification, satu proses kimia yang melibatkan perubahan struktur molekular asalnya iaitu sucrose (merupakan jenis gula disakarida).
Proses ini melibatkan penggantian 3 molekul hidrogen-oksigen kepada 3 atom klorin dalam struktur molekular asalnya menjadikan rasa yang 600 kali ganda lebih manis berbanding rasa gula yang biasa.
2# Saccharin
Bila sebut nama Saccharin, anda pasti tidak boleh lari daripada nama Ira Remsen.
Remsen merupakan seorang saintis merangkap sebagai pensyarah di Universiti John Hopkins merupakan individu yang bertanggungjawab dalam penemuan ‘tidak sengaja’ Saccharin.
Saccharin ini tergolong dalam kumpulan non-nutritive menghasilkan kemanisan 700 kali ganda berbanding kemanisan gula yang biasa. Cuma rasanya yang manis-manis pahit menyebabkan pada kebiasaannya dalam industri menggunakan campuran saccharin dengan jenis pemanis tiruan yang lain untuk tujuan kestabilan rasa.
Saccharine mempunyai satu struktur molekular yang stabil. Struktur molekular yang agak stabil ini menyebabkan ianya tidak mudah terurai apabila terdedah dengan haba yang tinggi.
3# Aspartame
Mempunyai rasa manis 200 kali ganda daripada gula yang biasa. Ianya mula ditemui sekitar tahun 1965 dan mendapat kelulusan keselamatan daripada Pengurusan Pemakanan dan Makanan US (FDA) untuk digunakan sebagai pengganti gula dalam makanan dan minuman sekitar tahun 1981.
Sokongan kajian daripada beberapa agensi keselamatan makanan dan minuman yang lain seperti Agensi Standard Pemakanan UK, Agensi Keselamatan Makanan Autoriti Eropah ( EFSA ) serta badan-badan keselamatan makanan daripada Kanada, New Zealand dan Australia juga telah mengesahkan keselamatan tambahan aspartame dalam produk makanan dan minuman.
Baca Juga : Lebih Peluh, Lebih Kalori. Fakta atau Auta?
Tidak seperti gula tiruan yang lain, aspartame tidak sesuai untuk digunakan dalam produk pemakanan dan minuman yang memerlukan suhu yang tinggi dalam proses pembuatannya disebabkan oleh struktur molekularnya yang mudah terhidrolisis apabila terdedah dengan suhu tinggi.
4# Acesulfame Potasium
Acesulfame Potasium atau acesulfame kalium merupakan salah satu jenis pemanis tiruan yang bersifat non-nutritive. Di pasaran, gula tiruan ini cukup sinonim dengan panggilan Sunnet dan Sweet One sempena nama pengilang yang menghasilkannya.
Ianya mempunyai kadar kemanisan sebanyak 200 kali ganda lebih tinggi daripada rasa manis gula yang biasa. 1967 menjadi tarikh kepada mulanya penemuannya oleh seorang ahli kimia daripada German iaitu Karl Clauss.
Tidak seperti aspartame, AceK mempunyai kestabilan yang baik di bawah suhu yang tinggi menyebabkan ianya sering dijadikan pilihan sebagai ramuan tambahan dalam industri bakeri.
Syarikat pengeluar minuman berkarbonat gergasi seperti Coca-Cola dan Pepsi juga menggunakan campuran AceK dan Sucralose sebagai salah satu ramuan keluaran minuman berkarbonat mereka versi tanpa kalori untuk menggantikan penggunaan gula yang biasa.
Rumusan
Contoh pemanis tiruan yang saya berikan di atas merupakan salah satu contoh sahaja daripada contoh yang lain. Cuma, 4 contoh pemanis tiruan di atas merupakan jenis yang selalu digunakan dalam industri pemakanan dan minuman yang terdapat di pasaran.
Penggunaan gula tiruan dalam industri pemakanan dan minuman sememangnya menjadi satu kontroversi. Sehingga ke hari ini, kajian lanjutan masih dijalankan untuk mengenal pasti dari semasa ke semasa kesan aplikasi penggunaannya dari segi kesihatan manusia.
Jika nak dilihat kesan jangka pendek, masih tidak menjumpai laporan atau kajian yang berkaitan individu yang mengambil pemanis tiruan menyebabkan kesan negatif.
Cuma, dari sudut jangka masa panjang masih boleh diperbincangkan lagi.
Yang paling terbaik adalah sentiasa memeriksa kadar pengambilan gula harian anda agar tidak terlalu berlebihan tidak kiralah sama ada ianya gula asli ataupun tiruan.
Alternatif yang paling terbaik dan selamat ialah dengan mengambil gula daripada bahan semulajadi seperti dalam buah-buahan.
Tidak lupa juga untuk menambahkan manis dalam senyuman!
No Comment! Be the first one.