Silibus pembelajaran tajwid al-Quran sebenarnya sudah diajar kepada pelajar sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Jika sebut sahaja nama Idgham, Izhar, Iqlab mahupun Ikhfa’, sudah pasti terngiang-ngiang kenangan dan teriakan suara ustaz/ustazah yang mengajar kita hukum tajwid di sekolah agama dahulu.
Hukum tajwid merupakan satu ilmu yang sangat penting untuk diketahui dan dikuasai oleh seorang pembaca al-Quran. Ilmu tajwid merupakan antara sebaik-baik ilmu untuk dipelajari kerana ia langsung berkaitan dengan kalam Allah swt iaitu al-Quran al-Karim.
Ini berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari (5027) daripada Uthman b. Affan RA, Nabi saw bersabda :
خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ.
Maksudnya: Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”
Pada penulisan kalini, jom kita telusuri tentang empat hukum tajwid asas yang boleh dipelajari khusus juga untuk yang baru hendak berjinak-jinak bagi mengenal seni pembacaan al-Quran. Empat hukum tersebut ialah :
- Idgham (الاءدغام)
- Izhar (الاءظهار)
- Iqlab (الاءقلاب)
- Ikhfa’ (الاءخفاء)
#1. Hukum Idgham (الاءدغام)
Idgham dari segi bahasa ialah memasukkan sesuatu ke dalam sesuatu. Manakala dari sudut istilah ilmu tajwid pula ialah memasukkan huruf pertama yang bertanda sukun ke dalam huruf kedua yang berbaris dan menjadi kedua-duanya satu huruf bersabdu dari jenis huruf yang kedua. Idgham ada 6 jenis huruf iaitu huruf ;
- و
- ل
- م
- ر
- ي
- ن
atau boleh juga anda menggunakan rumus يَرْمَلُونَ untuk mudah mengingati. Untuk pembahagian asas idgham ini, terdapat 2 pembahagian iaitu ;
a) # Idgham Ma’al Ghunnah
Selain Ma’al Ghunnah, ada juga sebahagian buku atau guru yang menyebutnya sebagai Idgham Bilaghunnah. Jangan risau, keduanya mewakili 2 entiti yang sama. Cuma, ada kepelbagaian nama sahaja. Idgham Ma’al Ghunnah ini ertinya memasukkan serta dengung.
Dengung ini ialah suara lembut yang keluar dari rongga hidung. Makhraj nun sukun dan tanwin telah dihilangkan tetapi sifat dengungnya masih dikekalkan dengan sempurna dua harakat dalam hurufnya.
Apakah huruf Idgham Ma’al Ghunnah?
Rumus mudahnya adalah apabila nun sukun ( ن ) dan tanwin bertemu dengan huruf و ي م ن , maka hukum tajwid yang terlibat ialah Idgham Ma’al Ghunnah yang perlu dibaca dengung dan memasukkan.
b) Idgham Bila Ghunnah
Ertinya ialah memasukkan tanpa dengung. Bacaannya dimasukkan secara sempurna kerana keseluruhan sifat dengung dan makhraj nun sukun dan tanwin telah dihilangkan.
Apakah huruf Idgham Bila Ghunnah?
Rumus mudahnya adalah apabila nun sukun dan tanwin bertemu dengan huruf ر ل yang bertasydid/sukun, maka hukum tajwid yang terlibat adalah Idgham Bila Ghunnah yang perlu dibaca tanpa dengung tetapi dimasukkan secara sempurna.
Hukum Idgham ada terpecah kepada beberapa lagi, tetapi 2 bahagian yang saya lampirkan merupakan pembahagian yang paling asas dan umum.
Secara rangkuman untuk hukum Idgham ;
Apabila ن sukun atau tanwin bertemu dengan huruf و ى م ن , maka hukum tajwid yang terlibat ialah Idgham Ma’al Ghunnah. Apabila ن sukun atau tanwin bertemu dengan huruf ر ل , maka hukum tajwid yang terlibat ialah Idgham Bila Ghunnah.
2# Hukum Izhar (الاءظهار)
Izhar dari sudut bahasa ialah menyatakan sesuatu. Manakala dari sudut istilah Ilmu Tajwid pula bermaksud melafazkan setiap huruf yang bertanda sukun dari makhrajnya tanpa dengung pada pertemuannya dengan huruf Izhar.
Secara mudah untuk diingati, hukum Izhar ini dibaca jelas dan sempurna sebutan makhraj huruf yang disebut tanpa perlu didengungkan. Izhar ada 6 jenis huruf yang perlu diingati iaitu ;
- ء
- ه
- ع
- ح
- غ
- خ
atau untuk mudah mengingati huruf-huruf izhar ini boleh juga menggunakan sepotong bait syair arab yang mengandungi enam kalimah, di mana awal huruf setiap kalimahnya terdiri daripada huruf Izhar :
أَخِي هاكَ عِلْمًا حَازَهُ غَيْرَ خَاسِرٍ.
atau boleh juga menggunakan rangkai kata ; أَََغْحٍ خَعَهُ Buat pengetahuan anda, apabila nun sukun atau tanwin bertemu dengan keenam huruf Izhar tersebut, maka hukum tajwid yang terlibat ialah Izhar Halqi.
Bagaimana pula dengan Izhar Syafawi?
Izhar Syafawi terlaksana apabila huruf م yang bertanda sukun ( mim mati ) bertemu dengan semua huruf hijaiyah kecuali dengan huruf م dan juga ب. 2 huruf ini dikecualikan kerana sekiranya huruf م sukun bertemu dengan huruf م, hukum tajwid yang lain iaitu Idgham Muthamathilain pula yang akan terlibat. Manakala jika huruf م sukun bertemu dengan huruf ب pula, hukum tajwid yang dipanggil Ikhfa’ Syafawi pula yang akan terlibat.
Secara rangkuman untuk hukum Izhar ;
Sekiranya ن sukun atau tanwin bertemu dengan huruf ء ه ع ح غ خ maka hukum tajwid yang terlibat ialah Izhar Halqi.. Sekiranya م sukun bertemu dengan semua huruf hijaiyah selain daripada huruf م dan ب maka hukum tajwid yang terlibat ialah Izhar Syafawi.
3# Hukum Iqlab (الاءقلاب)
Pernah tak anda baca al-Quran Rasm Uthmani lalu ternampak kalimah م tetapi versi yang kecil berekor ke bawah bertemu dengan perkataan yang seterusnya bermula dengan huruf ب ?
Jika ada, sebenarnya anda sedang melalui hukum pembacaan secara Iqlab. Namun jangan tersilap dengan melihat kepada simbol mim kecil yang berekor melintang.
Kerana mim yang berekor melintang merupakan simbol waqaf lazim ( wajib berhenti ) bukannya mim kecil pada hukum Iqlab. Iqlab ini terjadi hasil pertukaran nun sukun kepada huruf mim.
Iqlab dari sudut bahasa ialah menukarkan sesuatu kepada sesuatu..
Manakala dari sudut istilah Ilmu Tajwid pula bermaksud menukar lafaz nun sukun dan tanwin kepada lafaz mim lalu diikhfa’kan (di sembunyikan) di sisi huruf ba’ serta mengekalkan sifat dengungnya..
Untuk lebih faham, apabila melalui hukum Iqlab, maka bibir kita perlu dirapatkan tetapi tidak secara sepenuhnya seolah-olah sekeping kertas boleh melalui bukaan bibir yang telah dirapatkan tadi.
Makna diikhfa’kan mim di sini bukanlah menghilangkan keseluruhannya (makhraj dan sifat) tetapi adalah melemahkan dan menyembunyikan makhrajnya dengan cara bacaan bibir mulut direnggangkan sedikit untuk menyempurnakan sifat dengung dan harkatnya.
Namun, ada juga sebahagian ulama’ tajwid tidak bersetuju dan sedikit berbeza pendapat tentang pengertian Iqlab yang telah dinyatakan di atas.
Mereka berpendapat huruf mim dan juga ba ini sifatnya adalah bibir ditutup sempurna. Maka, cara bacaan Iqlab ini adalah bibir mulut dirapatkan sepenuhnya atau menukarkan nun sukun atau tanwin ini kepada huruf mim sahaja tanpa di ikhfa’kan.
Baca juga : Kesalahan Umum Bacaan Al-Fatihah
Inilah rencam perbahasan ilmu. Perkara khilaf tentang sesuatu perkara ini adalah perkara yang biasa. Sebagai orang awam, kita boleh sahaja mengikut pendapat mana yang kita rasa betul dan yakin.
Jika kita belajar dengan guru yang berpegang pendapat bibir tidak dirapatkan atau pun rapat sepenuhnya, maka tidaklah menjadi satu kesalahan untuk kita mengikuti mereka. Kedua pendapat ini tidaklah sesat dan mengubah makna ayat. Ianya hanya dalam konteks mana yang lebih tepat dan afdhal sahaja.
Secara rangkuman untuk hukum Iqlab ;
Apabila nun sukun atau tanwin bertemu dengan huruf ba, maka hukum Tajwid yang terlibat ialah Iqlab
4# Hukum Ikhfa’ (الاءخفاء)
Ikhfa’ dari sudut bahasa ialah tersembunyi. Manakala dari segi istilah ilmu Tajwid pula bermakna membaca huruf yang bertanda sukun dengan sifat bacaan antara Izhar dan Idgham tanpa sabdu serta mengekalkan sifat dengung huruf yang pertama.
Huruf Ikhfa’ ini ada 15 belas iaitu ; ص ذ ث ك ج ش ق س د ط ز ف ت ض ظ
Apabila nun sukun atau tanwin bertemu dengan salah satu huruf Ikhfa’ yang 15 belas, maka ia wajib diikhfa’kan (disembunyikan) di sisi huruf Ikhfa’ dengan sifat bacaan antara Izhar dan Idgham tanpa sabdu, serta mengekalkan sifat dengungnya pada huruf Ikhfa’ dengan sempurna dua harkat.
Jika anda berminat untuk menghafaznya ada juga disediakan para ilmuan terdahulu dengan lafaz syair dan rangkai kata ;
دُمْ طَيّبًا زِِدْفِى تُقًى ضَعْ ظَا لِمًا . صِفْ ذِا ثَنَا كَمْ جَادَ شَخْصٌ قَدْ سَمَا
atau
.سَتُجْزَ صَدَكَ فَثِقْ ضَطَظً شَذٍّ.
Dalam bahasa mudah menurut guru saya, bacaan ikhfa’ ini anda perlu dengungkan seolah-olah bunyi dengung itu sudah bersiap sedia untuk menyebut huruf yang seterusnya.
Bagaimana pembahagian Ikhfa’ ?
Lebih kurang sama seperti Izhar, Ikhfa’ juga secara asas terbahagi kepada dua kumpulan iaitu Ikhfa’ Halqi dan Ikhfa’ Syafawi.
Secara rangkuman untuk hukum Ikhfa’ ;
Sekiranya nun sukun atau tanwin bertemu dengan huruf ص ذ ث ك ج ش ق س د ط ز ف ت ض ظ , maka hukum tajwid yang terlibat ialah Ikhfa’ Hakiki.
Manakala sekiranya mim sukun bertemu dengan huruf ba, maka hukum tajwid yang terlibat ialah Ikhfa’ Syafawi.
Rumusan
Adakah penulisan dan penjelasan saya ini sudah mencakupi secara keseluruhan perbahasan Idgham, Izhar, Iqlab dan Ikhfa’ ? Sudah tentulah jawapannya tidak.
Apa yang telah saya tuliskan di atas adalah sebahagian sahaja daripada perbahasan yang lebih panjang dan kompleks. Ianya merupakan pemahaman yang sangat asas yang mana saya cuba tulis dalam bahasa yang mudah.
Kelompok sasaran saya ialah golongan pemula yang mahu mula berjinak-jinak dalam ilmu tajwid sahaja. Diharapkan ada manfaat kepada anda yang membaca.
Semoga kita berpeluang tergolong dalam golongan yang dapat membaca al-Quran pada kadar bacaan yang terbaik.
Baca Juga : 10 Amalan Sunnah Nabi Yang Mudah
No Comment! Be the first one.