Kesalahan biasa bacaan Surah Al-Fatihah ini seringkali berlaku khususnya melibatkan sebutan makhraj.
Al-Fatihah merupakan surah yang pertama sekali diletakkan oleh Allah ‘azawajal di dalam Al-Quran meskipun ianya bukanlah surah yang pertama sekali diturunkan. Ini menunjukkan bahawa keagungan dan keistimewaan Surah Al-Fatihah itu sendiri yang mengandungi intisari daripada seluruh kandungan al-Quran yang kemudiannya diperinci oleh 113 surah selepasnya.
Namun dalam penulisan kali ini, bukanlah fokusnya untuk bercerita, mentaddaburi mahupun menganalisis kesalahan bacaan dalam Surah-Al Fatihah secara terperinci. Cuma kali ini, saya lebih untuk memfokuskan perkongsian tentang kesalahan biasa bacaan al-fatihah yang dilakukan oleh kita semasa membaca Surah Al-Fatihah.
Kesalahan ini di atas pemerhatian saya sendiri yang jahil sewaktu mengajar dan juga solat di surau kampung. Mungkin betul atau mungkin juga salah. Mohon jika ada kesalahan boleh tulis di bahagian komen moga dapat manfaat bersama. Jom kita start!
1. Tidak men-sabdukan huruf ﺭ
Pada ayat pertama di kalimah basmalah iaitu :
بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِیمِ
huruf ﺭ tidak di-sabdukan dengan jelas dan sempurna selepas kalimah بِسۡمِ ٱللَّهِ
Bacaan yang kurang tepat : Bismillah-hi-rahman-ni-rahim
Bacaan yang tepat : Bismillah-hir-rahman-nir-rahim
** Kesalahan yang sama juga di ayat yang ketiga iaitu di kalimah ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِیمِ
2. Membunyikan huruf ﺡ dengan bunyi huruf ﻩ.
Pada ayat kedua :
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِینَ
Huruf ﺡ ( ha pedas) di kalimah ٱلۡحَمۡدُ seakan-akan dibaca dan digantikan dengan huruf ﻩ ( ha simpul). Bunyi huruf ﺡ ini sepatutnya dibunyikan datang daripada hujung kerongkong (sebelah atas dekat lingkungan anak lidah).
Bacaan yang kurang tepat : Al-( ﻩ )-amdulillah
Bacaan yang tepat : Al-( ﺡ )-amdulillah
3. Membunyikan huruf ﻉ dengan bunyi ﺃ
Masih lagi di ayat kedua :
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِینَ
Huruf ﻉ di kalimah ٱلۡعَـٰلَمِینَ seakan-akan dibaca dan digantikan dengan huruf ﺃ. Kesalahan ini banyak berlaku bukan sahaja di surah Al-Fatihah juga surah-surah dalam AL-Quran yang lain. Huruf ﻉ perlu dibezakan dengan huruf ﺃ agar makna sebenar Al-Quran itu tidak lari. Huruf ﻉ ini juga datang bunyinya daripada hujung kerongkong.
Bacaan yang kurang tepat : Hi-robbil-( ﺃ )-lamin
Bacaan yang tepat : Hi-robbil-( ﻉ )-lamin
** Kesalahan yang sama berlaku pada ayat ke lima di kalimah نَسۡتَعِینُ
4. Membunyikan huruf ﻕ dengan bunyi ﻙ
Di ayat ke enam :
ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَ ٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِیمَ
Huruf ﻕ di kalimah ٱلۡمُسۡتَقِیمَ seolah-olah dibaca dan dibunyikan dengan huruf ﻙ. Kesilapan ini merupakan antara kesalahan yang paling kerap dilakukan oleh rata-rata masyarakat kita. Namun tidak mengapa, pembetulan sebutan huruf ini amat mudah dan tidaklah sukar untuk dipraktikkan.
Bacaan yang kurang tepat : Ih-dinasshiro-thol-mustakim
Bacaan yang tepat : Ih-dinasshiro-thol-mustaqim
5. Membunyikan huruf ﺫ dengan bunyi ﺯ
Di ayat yang terakhir surah Al-Fatihah di bahagian:
صِرَ ٰطَ ٱلَّذِینَ أَنۡعَمۡتَ عَلَیۡهِمۡ
Huruf ﺫ dibaca dan dibunyikan dengan huruf ﺯ di kalimah ٱلَّذِینَ. Ini juga merupakan kesalahan yang sangat kerap dilakukan oleh kita ketika membacakan ayat ke tujuh dari surah Al-Fatihah ini. Cara membunyikan huruf ﺫ ini ialah dengan meletakkan lidah di antara gigi di atas dan bawah. Perbezaan bunyi antara huruf ﺫ dengan ﺯ ini aku biasa bezakan dengan menggunakan analogi lebah. Huruf ﺯ jika disebut akan menghasilkan bunyi sayap lebah manakala bunyi huruf ﺫ ini lebih lembut dan tidak mengeluarkan apa-apa bunyi.
Bacaan yang kurang tepat : Shiro-thol-lazii
Bacaan yang tepat : Shiro-thol-ladzhii
6. Men-qalqalahkan huruf ن
Di ayat yang terakhir surah Al-Fatihah di bahagian:
صِرَ ٰطَ ٱلَّذِینَ أَنۡعَمۡتَ عَلَیۡهِمۡ غَیۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَیۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّاۤلِّینَ
Huruf ن pada kalimah أَنۡعَمۡتَ seakan-akan dibaca dengan hukum tajwid Qalqalah Sughra walaupun huruf ن bukanlah huruf Qalqalah. Hukum tajwid yang betul ialah Izhar Halqi kerana ن mati bertemu dengan huruf halqi iaitu huruf ﻉ maka ianya perlu dibaca jelas tanpa perlu melantunkan sebutan/bacaan.
Bacaan yang kurang tepat : anna’am ta’alaihim
Bacaan yang tepat : an’am ta’alaihim
7. Men-qalqalahkan huruf غ
Juga di ayat yang terakhir :
صِرَ ٰطَ ٱلَّذِینَ أَنۡعَمۡتَ عَلَیۡهِمۡ غَیۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَیۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّاۤلِّینَ
Huruf غ di kalimah ٱلۡمَغۡضُوبِ juga seakan-akan dibaca dengan hukum tajwid Qalqalah Sughra. Sepatutnya huruf غ itu tidak perlu dilantunkan tetapi dibaca secara jelas.
Bacaan yang kurang tepat : ghairil-maghe-duu
Bacaan yang tepat : ghairil-magh-duu
Kesimpulan
Makhraj (sebutan) merupakan satu elemen asas yang paling penting perlu dikuasai oleh seseorang. Melalui kesalahan biasa bacaan al-Fatihah yang telah saya lampirkan di atas, dapat disaksikan bahawa majoriti kesalahan datangnya daripada makhraj(sebutan) yang membawa kepada penukaran huruf dan makna ayat.
Tidak mengapa sekiranya bacaan kita tidak lunak dan merdu, namun apa yang paling utama adalah kadar bacaan yang bertajwid,tartil dan jelas dapat dilakukan.
Cara yang terbaik untuk mengasah kemahiran sebutan huruf yang baik adalah kita boleh buka semula IQRA’ dan berlatih menyebut huruf sambil didengarkan oleh guru.
Apa yang telah saya senaraikan ini adalah berdasarkan pengalaman peribadi sahaja kerana kesalahan yang sama dilakukan oleh setiap individu dan saya kira kesilapan ini biasa berlaku pada kebanyakan pelajar yang sedang dalam proses belajar. Namun tidak mengapa kerana melalui melakukan kesilapanlah kita dapat menjadi yang terbaik.
Suka untuk saya bawakan satu hadis riwayat Al-Bukhari (5027) tentang kemuliaan orang yang rajin mempelajari Al-Quran. Daripada Uthman bin Affan RA, bahawa Nabi SAW bersabda :
خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
Maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”.
Semoga kita tergolong dalam golongan yang dapat membaca Kalamullah dengan bacaan yang terbaik.
No Comment! Be the first one.