Dalam musim pandemik Covid-19 yang masih belum reda dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia, wujud pula isu yang mengaitkan bahawa langkah pencegahan Covid-19 dengan Vitamin C berkesan dalam melindungi diri daripada penyakit berjangkit ini.
Namun persoalannya di sini, adakah dakwaan ini mempunyai landasan bukti yang kukuh dari aspek saintifiknya?
Apa itu Vitamin C?
Vitamin C atau nama lainya asid askorbik ( C6H8O6 ) merupakan nutrisi yang amat penting dalam membantu menguatkan sistem pertahanan tubuh badan kita untuk melawan penyakit secara semula jadi.
Sifatnya yang tinggi oksidan berperanan dalam menghalang radikal bebas (free radicals ) daripada melakukan kerosakan terhadap sel-sel di dalam tubuh badan manusia.

Vitamin C ini tidak boleh dihasilkan sendiri serta tidak mempunyai kantung simpanan yang khusus di dalam tubuh badan manusia.
Sebab itulah pakar-pakar nutrisi dan dietetik di seluruh dunia menyarankan agar kita melazimi pemakanan yang mengandungi kandungan Vitamin C agar dapat menampung keperluan tubuh badan dalam menjalani aktiviti seharian.
Baca Juga : 4 Nutrisi Terbaik Untuk Kecederaan Tendon & Ligamen
Selain daripada manfaat kesihatan, Vitamin C juga sering dikaitkan dengan manfaat kecantikan.
Banyak syarikat-syarikat produk kecantikan memasukkan nutrisi Vitamin C dalam formulasasi produk-produk keluaran mereka bertujuan untuk ; memperbaiki kulit yang kusam dan memudarkan kesan parut.
Adakah Vitamin C Untuk Pencegahan Covid-19?
Sebenarnya dakwaan ini masih dalam proses penelitian dan belum lagi memberikan keputusan kajian yang jelas terhadap keberkesanannya sebagai agen pencegahan kepada Covid-19.

Kalau anda boleh lihat gambar yang saya lampirkan di atas merupakan satu tangkap layar daripada laman Instagram seorang influencer yang menganjurkan untuk kita melazimi pengambilan Vitamin C.
Sebenarnya tidak ada masalah dengan anjuran pengambilan Vitamin C kerana sudah maklum kelebihan nutrisi tersebut dalam membantu menguatkan sistem immuniti dalam badan.
Cuma, untuk saranan melazimi pengambilan Vitamin C sebanyak 2000 m/g atau 2 g per hari untuk menguatkan sistem imuniti badan bagi saya adalah sedikit kurang tepat berdasarkan soroton daripada kajian semasa.
Tidak dinafikan ada kajian daripada beberapa buah institusi daripada beberapa buah negara seperti China dan Italy yang menggunakan suntikan Vitamin C ber-dos tinggi dengan kaedah Intravenous (IV) Vitamin C untuk mengurangkan tempoh unit rawatan rapi yang diterima pesakit radang paru-paru sebanyak 8% dan mengurangkan tempoh pesakit menerima alat bantuan pernafasan sebanyak 18.2%.

Kaedah ini dilakukan dengan cara memasukkan sejumlah larutan likat Vitamin C ke dalam salur kapilari darah melalui urat di bahagian lengan.
Kaedah ini berbeza dengan kaedah konvensional kerana nutrisi Vitamin C tidak melalui bahagian usus dan sistem pencernaan tetapi bertindak secara terus dalam salur darah bagi individu yang mengambilnya.
Cuma suntikan Vitamin C dalam dos yang tinggi juga masih lagi berada dalam proses kajian lanjutan kerana keberkesananya dalam merawat penyakit secara khusus masih belum berjaya dibuktikan secara jelas dan terperinci.
Menurut National Cancer Institute (NIH), pengambilan dos Vitamin C yang sangat tinggi juga sangat berisiko untuk individu yang ;
- mempunyai sejarah penyakit buah pinggang
- mempunyai penyakit yang berkaitan dengan genetik keturunan ( G6PD )
- mengalami masalah Hemochromatosis
Berapakah Jumlah Dos Sebenar Vitamin C Yang Badan Kita Diperlukan?
Menurut National Institute of Health, kadar dos pengambilan harian Vitamin C yang diperlukan oleh seorang lelaki dewasa hanyalah sebanyak 90-95 mg atau 0.090-0.095 g sahaja dalam sehari. Bagi wanita dewasa pula, kadar dos yang diperlukan hanyalah sebanyak 75 mg atau 0.075 g.
Manakala menurut National Health and Nutrition Examination Survey (NHANES) pula, pengambilan Vitamin C untuk lelaki dewasa pula adalah sebanyak 105 mg per hari atau 0.105 g. Untuk wanita dewasa pula sebanyak 83.6 mg atau 0.084 g.
Manakala, untuk golongan perokok tegar, ibu mengandung dan menyusu perlukan sekitar 85-125 mg atau 0.085-0.125 g sahaja per hari.

Untuk mendapatkan sejumlah nutrisi Vitamin C untuk keperluan dalam tubuh badan ini boleh didapati daripada sumber makanan harian sahaja seperti buah-buahan dan sayur sayuran.
Pengambilan makanan tambahan ( supplementation ) Vitamin C adalah pilihan individu.
Tinggikan Pengambilan Vitamin C Dapat Menguatkan Lagi Sistem Imuniti Badan?
Benar Vitamin C membantu dalam mempertingkatkan sistem imuniti dalam tubuh badan manusia. Namun, meningkatkan dos pengambilannya tidaklah menyebabkan sistem imuniti meningkat dengan lebih tinggi.
Hal ini demikian kerana, Vitamin C ini bersifat mudah terlarut dengan air (water soluble vitamin).
Sifatnya yang mudah larut dalam air ini membawa maksud lebihan nutrisi yang tidak digunakan ini tidak pun tersimpan dalam badan kita.
Menurut H.H. Mitchell dalam Journal of Biological Chemistry 158, peratusan air yang terdapat dalam otak dan jantung manusia adalah sebanyak 73-83 % manakala paru-paru pula mengandungi 85 %.
Peratusan air di dalam kulit pula mengandungi 64 %, manakala otot dan buah pinggang mengandungi 75-83 %. Tulang yang keras juga mengandungi peratusan air sebanyak 31 %.

Secara umum, lebih 50 % berat badan kita terdiri daripada air. Lebihan Vitamin C yang kita ambil ini akan terlarut bersama cecair dalam badan lalu akan melalui sistem penapisan di bahagian buah pinggang.
Hasil akhir akan disingkirkan daripada tubuh badan melalui air kencing.
Perbuatan mengambil dos Vitamin C dalam sehari yang tinggi untuk merawat Covid-19 masih dalam penelitian dan kajian para penyelidik.
Buat masa ini, kita masih kekurangan bukti santifik yang kukuh perkaitan Vitamin C dalam menjadi agen pencegah kepada Covid-19.
Apakah Kesan Sampingan Pengambilan Vitamin C Yang Berlebihan?
Secara umum, tiada kesan sampingan yang begitu ketara yang boleh dialami oleh individu yang tidak mempunyai sebarang penyakit sekiranya seseorang itu mengambil jumlah dos Vitamin C yang tidak lebih dari 2000 mg atau 2 g per hari.
Paling tidak, seseorang itu akan mengalami simptom cirit-birit yang boleh menjerumus kepada kehilangan air yang banyak dalam tubuh badan di samping kesan sampingan yang lain seperti loya, sakit perut dan simptom gangguan gastrousus.
Itu pun bergantung kepada adaptasi tubuh badan seseorang individu.
Baca juga : Lebih Peluh, Lebihlah Kalori Dibakar. Fakta atau Auta?
Rumusan
Saya tidaklah mengatakan bahawa pesanan yang telah dilakukan oleh influencer tadi sebagai pesanan yang sia-sia dan salah secara mutlak.
Ada sisi pandang yang betul iaitu Vitamin C sememangnya membantu memperkuatkan sistem pertahanan tubuh badan kita.
Cuma untuk meletakkan konsep makan Vitamin C dalam dos yang tinggi untuk meningkatkan sistem imuniti badan dalam usaha pencegahan Covid-19 adalah kurang tepat.
Kerana perbuatan meningkatkan jumlah dos Vitamin C tersebut tidaklah juga akan meningkatkan kualiti sistem pertahanan tubuh badan kita menjadi lebih tinggi.
Jika kita mengambil dalam kuantiti dos saranan iaitu sekitar 100 mg sehari sahaja pun sudah mampu untuk memberikan kesan yang positif dalam memperbaiki kerosakan sel tubuh badan. Tidak perlu sampai 2000 mg dalam sehari.
Malah, untuk golongan yang berpenyakit, besar kemungkinan pengambilan Vitamin C dalam dos yang tinggi boleh menimbulkan komplikasi lain.
Nasihat saya, sekiranya anda mahu mengambil sesuatu makanan tambahan, rujuk dan dapatkan nasihat daripada badan kesihatan yang berautoriti.
Hal ini demikian kerana, setiap individu mempunyai keperluan nutrisi yang berbeza-beza bergantung kepada adaptasi dan keperluan tubuh badan mengikut rutin kehidupan seharian.
Saya kira langkah pencegahan yang paling terbaik dan berkesan untuk mengawal rantaian Covid-19 ini daripada terus merebak adalah dengan kerap mencuci tangan dan menjaga kebersihan, sentiasa memakai penutup muka serta mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Stay Safe, Kita Jaga Kita.
No Comment! Be the first one.