Pernah tak anda membeli produk minuman di pasaran yang terpapar perkataan ‘Tanpa Kalori ‘ atau ‘sugar free’ yang diiklankan di kaca televisyen mahu pun di bahagian pelekat botol dan tin minuman ? Apakah ‘trick’ pemanis tanpa kalori yang cuba digunakan oleh syarikat pengeluar minuman dan makanan di pasaran ini benar-benar tanpa kalori ? Atau sekadar scam sahaja?
Bila dirasa minuman tersebut, adakah anda pernah tertanya-tanya dari mana lah datangnya rasa manis dalam minuman ini jika benar ‘sugar free’ seperti yang diiklankan?
Konsep asasnya ialah bila manis mestilah wujudnya kandungan gula bukan? Bila wujudnya kandungan gula, sudah tentulah wujud juga kandungan kalori.
Maka, di mana justifikasi kepada pernyataan ‘tanpa kalori’ tersebut?
Pembangunan Teknologi Pemanis Tiruan Tanpa Kalori
Sebenarnya, rasa manis yang datang daripada minuman itu bukanlah datangnya daripada gula biasa yang kita selalu guna itu.
Tetapi, rasa manis itu datang daripada pemanis tiruan (artificial sweetener) semata-mata tanpa ada campuran dengan gula yang asli. Dan yang paling penting ianya tanpa kalori!
Sejarah penciptaan pemanis tiruan tanpa kalori ini telah lama dihasilkan selaras dengan teknologi perindustrian makanan yang semakin pesat membangun.
Ira Remsen seorang ahli kimia di Universiti Johns Hopkins yang berasal daripada Amerika Syarikat merupakan individu pertama yang menemui dan mengkaji tentang penemuan pemanis tiruan ini!
Sejarah Penemuan Pemanis Tiruan Tanpa Kalori
Kisahnya bermula apabila suatu hari Remsen baru sahaja selesai melakukan eksperimen di makmal lalu pulang ke rumahnya. Oleh kerana terlalu penat seharian berada di makmal, setibanya dia di rumah, Remsen terus duduk di meja makan untuk makan malam bersama isterinya.
Semasa melakukan gigitan pertama pada roti yang dimakannya, Remsen berasa sangat pelik kerana gigitan roti itu berasa sangat manis.
Bertanya kepada isterinya tentang perkara itu. Tetapi, isteri Remsen mengatakan roti miliknya pula berasa seperti biasa sahaja tidak manis seperti yang didakwa oleh Remsen.
Remsen menjilat jarinya lalu mendapati rasa manis itu bukan datang daripada rotinya.
Akan tetapi, rasa manis itu datang daripada jari-jemarinya. Dia berasa sangat teruja dan mengambil keputusan untuk kembali ke makmal. Rasa manis itu perlu dijejaki!
Setibanya di makmal, Ramsen bertindak merasa satu persatu campuran kimia yang beliau telah tinggalkan di atas meja sehinggalah sampai kepada satu bikar yang berisi campuran ammonia, sulfobenzoic acid dan phosphorus chloride yang telah dididihkan semasa beliau berada dalam makmal lagi.
Rasa manis itu sememangnya datang daripada didihan campuran itu yang akhirnya teroksida menjadi o-toluenesulfonamide.
Seterusnya, Remsen meneruskan kajian lanjutan bersama rakan makmal yang juga ahli kimia, Constantin Fahlberg dan menamakan bahan tersebut sebagai Saccharine, salah satu jenis pemanis tiruan yang telah digunakan sehingga kini!
Sejak hari itu, Remsen dan Fahlberg telah menjadi penggerak kepada saintis lain untuk menghasilkan kajian yang lebih mendalam untuk menghasilkan pemanis tiruan jenis yang lain.
Baca juga : Contoh Pemanis Tiruan Yang Anda Perlu Tahu!
Cumanya bahan-bahan utama yang digunakan dalam penghasilan Saccharine ini juga sudah tentulah tidak sama dengan bahan sewaktu awal penghasilannya dahulu. Ianya berubah sesuai mengikut arus perkembangan penyelidikan dan teknologi dari zaman ke zaman.
Pemanis Tiruan Tanpa Kalori Yang Sering Digunakan Dalam Industri
Dalam industri pemakanan & minuman, Sucralose atau lebih popular dengan panggilan Splenda bersempena dengan nama syarikat yang mengeluarkan pemanis tiruan ini merupakan jenis pemanis tiruan yang paling kerap digunakan oleh syarikat-syarikat dalam industri pemakanan dan minuman.
Sucralose bertindak sebagai agen pengganti kepada gula yang biasa bertujuan untuk menjadikan keluaran produk yang dikeluarkan lebih ‘sihat’ tanpa menjejaskan kualiti dan rasa asal produk.
Sucralose ini terhasil daripada satu proses kimia yang dipanggil chlorification. Proses ini melibatkan penggantian 3 kumpulan hidrogen-oksigen dengan 3 atom klorin yang terdapat dalam struktur asal Sucrose.
Sucrose ini merupakan salah satu jenis gula tergolong dalam kumpulan karbohidrat jenis disakarida yang terhasil daripada kombinasi antara glucose dan fruktos. Rantaian ini merupakan sebahagian daripada keluarga karbohidrat.
Pada tahun 1998, Pentadbiran Makanan dan Dadah US (FDA) telah menyenaraikan senarai pemanis tiruan yang dibenarkan untuk digunakan dalam 15 jenis kategori makanan dan minuman sahaja seperti – barangan bakeri, gula getah, produk tenusu sejuk beku dan sebagainya.
Selanjutnya pada tahun 1999 pula, FDA melonggarkan lagi syarat kelulusan dengan menetapkan pemanis tiruan ini boleh digunakan pada semua jenis makanan dan minuman pada kegunaan umum.
Kelulusan ini menandakan bahawa aplikasi penggunaan pemanis tiruan ini dalam industri pemakanan dan minuman adalah selamat secara umum.
Contoh yang saya boleh berikan ialah syarikat Coca-Cola dan Pepsi yang menggunakan campuran pemanis tiruan jenis Sucralose dan Acesulfame Kalium dalam satu edisi keluaran ‘sihat’ untuk menggantikan penggunaan gula.
Ideologi ini bertujuan untuk memberikan pilihan minuman berkarbonat yang lebih ‘sihat’ dan tanpa kalori kepada pengguna.
Benarkah Pemanis Tiruan Tanpa Kalori Ini Lebih Manis Dari Gula?
Kebanyakan jenis pemanis tiruan tanpa kalori yang digunakan dalam industri sememangnya lebih manis daripada gula. Selain itu, kebanyakan juga boleh dikategorikan sebagai non-nutritive sweetener. Dalam bahasa mudahnya, pemanis tiruan ini tidak mempunyai apa-apa nilai nutrisi yang bermanfaat untuk tubuh badan.
Sucralose memiliki kadar kemanisan sekitar 400-600 kali ganda daripada gula biasa yang selalu kita guna. Begitu juga dengan Saccharine yang memiliki 200-700 kali ganda lebih manis.
Bermakna, penggunaannya juga sangat menjimatkan disebabkan kadar kemanisannya yang cukup tinggi.
Sebab itu minuman tanpa kalori yang menggunakan pemanis tiruan masih mempunyai rasa manis yang agak kuat seolah-olah tiada perbezaan dengan rasa minuman biasa yang berkalori.
Rumusan
Sekarang anda sudah tahu bukan kenapa syarikat-syarikat pengeluar makanan dan minuman ini berani menggunakan perkataan ‘tanpa kalori’ dan ‘sugar free‘ ?
Sememangnya rasa manis yang dirasai itu bukanlah datang daripada gula yang biasa kita guna dalam kehidupan seharian. Gula yang biasa itu memiliki kandungan kalori yang mampu memberikan kesan yang buruk kepada kesihatan sekiranya diambil melebihi had yang telah dicadangkan.
‘Gula’ yang mereka gunakan ini merupakan jenis pemanis tiruan yang dihasilkan oleh manusia untuk menggantikan pilihan gula yang biasa. Tetapi versi tidak ada kandungan kalori tanpa menyebabkan perubahan yang ketara kepada kualiti dan rasa produk yang asal.
Namun, adakah anda tidak berasa terganggu dengan perkataan tiruan ini ? Kebiasaannya perkataan ‘tiruan’ ini merujuk kepada unsur negatif bukan ?
Ikuti kupasan pada penulisan saya yang seterusnya!
Baca Juga : Adakah Pemanis Tiruan Ini Berbahaya Kepada Kesihatan?
[…] Juga : ‘Trick’ Pemanis Tiruan Yang Digunakan Di PasaranBaca Juga : Adakah Pemanis Tiruan Berbahaya Untuk […]